PETALING JAYA: Malaysia Aviation Group Bhd. (MAG) kembali mencatatkan keuntungan bersih selepas cukai positif untuk kali pertama dalam tempoh setahun penuh sejak 2010, biarpun tanpa suntikan modal tambahan daripada Khazanah Nasional Bhd. sepanjang tahun lalu.
Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, prestasi aset penerbangannya itu menunjukkan pemulihan ketara didorong permintaan kukuh berikutan pemulihan perjalanan antarabangsa dan domestik.
“Kapasiti penumpang juga telah kembali pulih ke tahap pra-Covid selain syarikat itu turut mengamalkan pengurusan kos yang berkesan dan pengoptimuman aliran tunai,” katanya taklimat media Tinjauan Tahunan Khazanah (KAR) 2024 di sini semalam.
Khazanah Nasional ialah pemegang saham tunggal Malaysia Airlines Bhd. (MAB) melalui anak syarikatnya, MAG.
Pada 2021, MAB menjalankan penstrukturan semula bagi memulihkan masalah kewangan syarikat tersebut dengan elemen utama penstrukturan semula termasuk komitmen modal daripada Khazanah sebanyak RM3.6 bilion kepada MAG untuk membiayai perniagaannya sepanjang tempoh penstrukturan semula sehingga 2025.
Bagi memastikan prestasi MAG kekal positif, beliau menegaskan, pihaknya sentiasa terbuka untuk pelbagai strategi termasuk rakan kerjasama, pengaturan perniagaan bersama mahupun ekuiti bagi mengukuhkan lagi syarikat penerbangan tersebut.
Ujarnya, fokus syarikat pada masa ini adalah untuk membina satu produk yang boleh dibanggakan melalui penambahbaikan menerusi kejuruteraan dan juga operasi.
“Perkara lain adalah aset itu sendiri. Kami tahu pesawat yang ada sudah lama dan dalam proses untuk penggantian. Ia akan mengambil masa kerana rantaian bekalan rantaian bekalan global.
“Terdapat peluang untuk kami melihat bagaimana syarikat boleh mengukuhkan beberapa penerbangan laluan jarak jauh. Kami sangat kukuh di peringkat serantau, tetapi dari segi jarak jauh agak lemah.
“Sekarang, bagaimana kita melakukan ini, terdapat banyak cara untuk membina perkongsian, pengaturan perniagaan bersama, melihat kerusi dalam syarikat penerbang dan mungkin juga beberapa ekuiti,” katanya.
Ketika diminta mengulas mengenai saranan kerajaan untuk syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) menggalakkan aliran masuk berterusan ke dalam pasaran pertukaran asing bagi membantu pengukuhan ringgit, Amirul Feisal berkata, Khazanah sentiasa melakukan pelaburan yang memajukan Malaysia.
Menurutnya, Khazanah juga telah komited memperuntukkan RM6 bilion kepada Dana Impak, yang disasarkan untuk mencergaskan ekosistem, bekerjasama dengan pihak berkepentingan, dan mempengaruhi dasar untuk pertumbuhan.
“Kebanyakan pelaburan antarabangsa kami dibiayai sendiri. Oleh itu, ia sebenarnya tidak mengeluarkan wang dari negara,” ujarnya.
Tambahnya, terdapat banyak potensi dalam peralihan tenaga dan tumpuan harus dibuat adalah untuk melihat pelaburan langsung domestik (DDI). – UTUSAN










