PETALING JAYA: Inflasi keseluruhan negara meningkat kepada 1.8 peratus pada Februari 2024 berbanding 1.5 peratus pada bulan sebelumnya, manakala inflasi teras kekal tidak berubah pada 1.8 peratus.
Bank Negara Malaysia (BNM) dalam kenyataan berkata, peningkatan inflasi didorong terutamanya oleh inflasi yang lebih tinggi untuk utiliti berikutan semakan kenaikan tarif air pada awal Februari.
“Bagi inflasi teras, inflasi untuk makanan dari luar rumah yang lebih tinggi sebahagian besarnya diimbangi oleh inflasi yang lebih rendah untuk sewa sebenar yang dibayar oleh penyewa,” katanya.
Menurutnya, indeks pengeluaran industri perkilangan kembali pulih kepada 3.7 peratus pada
Januari 2024 berbanding -1.4 peratus pada Disember tahun lepas.
“Pertumbuhan kelompok berorientasikan eksport meningkat berikutan pengeluaran produk kimia, getah dan plastik yang lebih kukuh manakala pengeluaran elektrik dan elektronik (E&E) mencatatkan pemulihan yang sederhana.
“Sementara itu, pertumbuhan kelompok berorientasikan dalam negeri bertambah baik, mencerminkan peningkatan pengeluaran peralatan pengangkutan dan bahan binaan,” ujarnya.
Selain itu, bank pusat berkata, kredit kepada sektor swasta bukan kewangan meningkat sebanyak 5.1 peratus pada akhir Februari 2024 berbanding 5.0 peratus bulan sebelumnya, disokong terutamanya oleh pertumbuhan pinjaman terkumpul yang lebih tinggi pada 5.6 peratus berbanding 5.4 peratus pada Januari.
Ujarnya, pertumbuhan pinjaman perniagaan terkumpul meningkat kepada 4.7 peratus (Januari 2024: 4.3 peratus), didorong pertumbuhan yang lebih tinggi bagi pinjaman modal kerja dan pinjaman berkaitan pelaburan.
“Sementara itu, pertumbuhan bon korporat terkumpul menurun kepada 3.3 peratus (Januari 2024: 3.6 peratus).
“Bagi isi rumah, pertumbuhan pinjaman terkumpul kekal stabil pada 6.1 peratus (Januari 2024: 6.0 peratus), dengan pertumbuhan yang berterusan merentas tujuan pinjaman utama.
“Yang ketara, pertumbuhan bagi pengeluaran pinjaman isi rumah kekal menggalakkan (11.1 peratus; Januari 2024: 19 peratus).
Dalam pada itu, pasaran kewangan global bertindak balas terhadap jangkaan bahawa Rizab Persekutuan Amerika Syarikat akan membuat pemotongan kadar yang lebih sedikit dan mengekalkan kadar faedah dasar semasa yang tinggi untuk tempoh yang lebih lama berikutan penerbitan data pasaran pekerja AS yang kukuh serta inflasi teras yang kekal tinggi.
Sementara itu, FBM KLCI didagangkan lebih tinggi sebanyak 2.5 peratus berikutan aliran masuk ekuiti asing (purata serantau: +3.1 peratus).
Sistem perbankan terus mencatatkan penampan mudah tunai yang kukuh dengan agregat Nisbah Perlindungan Mudah Tunai berada pada 153.7 peratus (Januari 2024: 160.2 peratus).
Agregat nisbah pinjaman kepada dana secara amnya kekal stabil pada 81.8 peratus (Januari 2024: 81.6 peratus).
Sementara itu, kualiti aset sistem perbankan kekal utuh dengan nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih keseluruhan secara amnya kekal stabil masing-masing pada 1.6 peratus dan 1.0 peratus.
Nisbah perlindungan kerugian pinjaman (termasuk rizab pengawalseliaan) terus berada pada paras berhemat sebanyak 120 peratus (Januari 2024: 120.8 peratus) daripada jumlah pinjaman terjejas, dengan jumlah peruntukan mencakupi 1.5 peratus daripada jumlah pinjaman. – UTUSAN










