Jabatan Audit Negara beri tumpuan prestasi kewangan syarikat

Jabatan Audit Negara beri tumpuan prestasi kewangan syarikat, agensi kerajaan

WAN Suraya Wan Mohd. Radzi dalam ucaptama Persidangan Audit Bank 2024 di Kuala Lumpur, semalam.-UTUSAN/MUHD AMARULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Audit Negara akan memberi keutamaan kepada prestasi syarikat dan agensi kerajaan, berikutan terdapat kejadian ketidakpatuhan dan kelemahan kawalan dalaman yang disebut dalam laporan-laporan tahunan sebelum ini.

Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd. Radzi berkata, audit penyata kewangan akan menjadi teras penting dalam kerja yang dilakukan pihak jabatan seiring dengan tumpuan lebih besar pada prestasi syarikat kerajaan.

Katanya, kerja-kerja audit kebiasaanya akan memberi tumpuan kepada perancangan strategi korporat, tadbir urus korporat serta pengurusan sumber, aset, kewangan dan aktiviti. 

“Kami melihat kepada sesetengah syarikat ini telah wujud sejak sekian lama, namun mungkin disebabkan kurang perhatian kepada tadbir urus korporat, prestasi mereka cuma sederhana dan kadang kala boleh menjadi beban pada kerajaan. 

“Oleh itu, ini adalah sesuatu yang kami akan beri lebih perhatian menuju ke hadapan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama Persidangan Audit Bank 2024 yang julung kali diadakan di Kuala Lumpur.

Persidangan selama dua hari bertemakan ‘Masa Depan Audit Dalaman: Menyambut Perubahan, Kekal Relevan’ itu disertai hampir 600 delegasi dari institusi kewangan dalam dan luar negara.

Wan Suraya berkata, selain menerima guna teknologi baharu, pihaknya telah memulakan projek pendigitalan termasuk membangunkan gudang data, aplikasi analitik audit, papan pemuka audit, serta perkakasan dan infrastruktur sokongan lain. 

“Projek yang bakal disiapkan menjelang 2025 bertujuan untuk menjana hasil berimpak tinggi yang akan memperkasakan Jabatan Audit Negara untuk membuat keputusan termaklum dengan memanfaatkan analisis data besar, pengurusan data bersepadu dan perkongsian data merentas agensi,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi, Asian Institute of Chartered Bankers (AICB), Tan Sri Azman Hashim berkata, seiring peredaran teknologi, juruaudit dalaman harus memainkan peranan penting dalam memastikan ‘semak dan imbangan’ terus kekal untuk tadbir urus korporat kukuh di dalam institusi perbankan. 

Jelasnya, juruaudit dalaman masa hadapan perlu menyesuaikan diri dengan landskap transformasi digital yang mampan dan bersedia untuk memimpin dalam landskap audit yang berteraskan teknologi. 

“AICB mengiktiraf pentingnya untuk menyokong juruaudit dalaman dalam membangunkan kemahiran dan pengetahuan mereka bagi melaksanakan peranan mereka dengan cekap dan berkesan. 

“Oleh itu, pembangunan profesional berterusan ahli kami adalah amat penting. Sejak diperkenalkan pensijilan audit AICB pada 1998 terdapat lebih 1,700 juruaudit bank dalaman telah berjaya diperakui untuk terus mempertahankan standard tertinggi kelakuan profesional dan kecekapan dalam industri perbankan Malaysia,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×