IHPR meningkat 0.3 peratus pada Februari 2024 - Utusan Malaysia

IHPR meningkat 0.3 peratus pada Februari 2024

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia yang mengukur perubahan harga barangan di peringkat pengeluar, meningkat 0.3 peratus pada Februari 2024 daripada -0.6 peratus bulan sebelumnya, lapor Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, sektor pertanian, perhutanan dan perikanan meningkat 6.0 peratus (Januari 2024: 3.2 peratus), disumbangkan oleh indeks penanaman tanaman kekal (8.1 peratus), perikanan (7.5 peratus) dan pengeluaran ternakan (4.3 peratus).

Pada masa yang sama, ujarnya, sektor perlombongan mencatatkan peningkatan 5.3 peratus (Januari 2024: -1.3 peratus) dengan indeks pengekstrakan petroleum mentah mencatatkan peningkatan 7.9 peratus.

“Indeks Bekalan air meningkat 3.6 peratus pada Februari 2024 (Januari 2024: 0.6 peratus) selaras dengan kenaikan tarif air di seluruh negara bermula pada 1 Februari 2024. Sektor bekalan elektrik dan gas juga meningkat perlahan 0.1 peratus pada bulan ini (Januari 2024: -0.8 peratus).

“Sementara itu, sektor pembuatan terus menurun negatif 0.7 peratus (Januari 2024: -0.9 peratus) disebabkan oleh penurunan dalam indeks pembuatan kok dan produk petroleum bertapis (-12.6 peratus) serta pembuatan produk makanan (-3.3 peratus),” katanya.

Beliau menjelaskan, pada asas bulanan, IHPR pengeluaran tempatan meningkat 0.7 peratus selepas penurunan 0.1 peratus bulan lepas, dan sektor pembuatan kekal tidak berubah, manakala semua sektor lain mencatatkan kenaikan pada bulan ini.

“Sektor perlombongan naik 5.7 peratus dengan peningkatan dalam indeks pengekstrakan petroleum mentah (5.8 peratus) dan pengekstrakan gas asli (5.2 peratus). Sektor pertanian, perhutanan dan perikanan meningkat 2.6 peratus disebabkan penanaman tanaman kekal (4.3 peratus) dan perikanan (3.7 peratus).

“Bagi sektor utiliti, kedua-dua bekalan elektrik dan gas serta bekalan air masing-masing meningkat sebanyak 0.9 peratus dan 2.7 peratus pada Februari 2024,” ujarnya.

Mengulas mengenai IHPR pengeluaran tempatan mengikut peringkat pemprosesan, Mohd. Uzir berkata, indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya meningkat 5.6 peratus pada Februari 2024 (Januari 2024: 2.3 peratus), dengan indeks bahan bukan makanan mencatatkan peningkatan 6.0 peratus.

“Indeks barang siap juga meningkat 1.1 peratus (Januari 2024: 0.5 peratus), disebabkan peningkatan indeks kelengkapan modal (2.9 peratus).

“Namun, indeks bahan perantaraan, bekalan dan komponen terus turun negatif 1.7 peratus (Januari 2024: -2.0 peratus) disebabkan indeks bahan api yang diproses dan pelincir (-12.9 peratus) serta bahan dan komponen untuk pembuatan (-0.5 peratus),” katanya.

Perbandingan dengan negara lain menunjukkan bahawa IHPR Amerika Syarikat meningkat 1.6 peratus pada bulan ini berbanding 1.0 peratus pada Januari 2024, Jepun meningkat 0.6 peratus berbanding kenaikan 0.2 peratus pada bulan sebelumnya.

Ini merupakan inflasi pengeluar tertinggi sejak Oktober 2023, disebabkan kenaikan berterusan kos bagi kebanyakan komponen, seperti minuman dan makanan, produk logam dan industri pembuatan lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN