PETALING JAYA: Iconic Maison Sdn. Bhd. (Iconic Maison) anak syarikat milik penuh Iconic Worldwide Berhad (Iconic Worldwide) melancarkan galeri jualan baharu dan unit pameran baharu, Iconic Harmony, sebuah projek hartanah di Alma, Bukit Mertajam, Pulau Pinang dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM255 juta.
Iconic Harmony menyediakan lebih daripada 30 fasiliti termasuk kolam infiniti, taman permainan air kanak-kanak, gelanggang bola keranjang half-court, jakuzi, kawasan hijau, kawasan rekreasi, bilik gim seni dan hab komuniti.
Turut disediakan, lot kedai komersial di tingkat bawah yang menawarkan lokasi utama perniagaan sekali gus menyediakan kemudahan untuk penduduk Iconic Harmony.
Pengerusi Eksekutif Iconic Worldwide, Datuk Seri Tan Kean Tet berkata, Iconic Harmony telah direka selaras dengan tumpuan pada kualiti, nilai untuk wang dan penyerahan tepat pada masanya.
“Kami telah banyak berusaha untuk mencipta ruang dikongsi seperti halaman taman, taman permainan air kanak-kanak dan bilik gim. Matlamat kami adalah untuk mewujudkan ruang untuk penduduk berhubung dan berinteraksi antara satu sama lain.
“Lokasi strategik Iconic Harmony di tengah-tengah Alma juga menjadikannya padanan sempurna untuk gaya hidup keluarga moden.
“Saya percaya projek Iconic Harmony akan mentakrifkan semula maksud ‘kemewahan mampu milik’ sama ada untuk mereka yang keluarga atau mengembangkan perniagaan serta projek yang tiada tandingan terutama dari segi nilai,” katanya dalam kenyataan.
Iconic Harmony terdiri daripada 751 rumah mampu milik pegangan bebas dalam bangunan moden 36 tingkat, serta 16 unit lot kedai dua tingkat.
Setiap unit kediaman mempunyai keluasan binaan seluas 900 kaki persegi dan dilengkapi dengan tiga bilik tidur serta dua bilik mandi.
Terletak secara strategik di persimpangan Jalan Rozhan dan Jalan Alma, Iconic Harmony berdekatan hanya beberapa minit dari kedai makanan dan minuman, bank, pasar basah, sekolah, Hospital Bukit Mertajam dan pasar raya seperti Aeon Mall dan Pasaraya Lotus.
Iconic Maison juga mengumumkan cabutan bertuah eksklusif termasuk kereta iaitu Tesla Model 3, BYD Atto 3 dan Honda WR-V, dengan nilai keseluruhan sebanyak RM500,000.
Galeri jualan Iconic Maison, di Jalan Rozhan, Taman Alma Jaya, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. – UTUSAN










