BMW sememangnya tidak pernah dipasarkan sebagai model biasa sama ada dari segi lambang kemewahan ataupun kecemerlangan teknologi. BMW juga sememangnya dikenali sebagai a driver’s car iaitu sebuah kereta yang dicipta untuk memberikan kepuasan dari segi pemanduan terhadap mereka yang benar-benar serius tentangnya. Namun tidak pernah pula melupakan ciri kemewahan dalam keterampilan fizikal pada mata umum.
Umum juga sudah mengetahui bahawa BMW telah memasarkan kereta versi elektrik sepenuhnya sebelum ini, sama ada daripada varian kenderaan utiliti sukan (SUV) atau sedan. Maka apa lagi yang boleh BMW ketengahkan untuk segmen pasaran kenderaan elektrik (EV)? Inilah jawapan mereka: BMW i5 eDrive 40.
REKA BENTUK FIZIKAL
Sebuah sedan yang besar, sama ada dari saiz fizikal luaran atau kabinnya. Jika melihatnya dari depan, jeriji ikonik BMW yang diberi nama “kidney” kini lebih menyerupai sebuah lambang kerana jeriji tersebut merupakan satu ruang kemasukan udara untuk sistem penyejukan enjin. Akan tetapi, oleh kerana ini adalah versi kenderaan 100 peratus elektrik dan tiada enjin yang ada di ruang hadapan kereta untuk disejukkan, maka ia dikekalkan hanya sebagai identiti BMW.
Malah, untuk menambah atau menjadikannya lebih ikonik, ‘kidney’ itu dipasang lampu LED sebagai ‘bingkai’ jeriji tersebut. Keberadaan ini sangat terserlah ketika pemanduan yang dilakukan pada waktu malam. LED biru yang terpapar pada jeriji ikonik BMW ini terus menjadi tumpuan utama pemandangan sekeliling.
Walaupun tidak mempunyai sunroof atau cermin suria, BMW i5 ini dipasang dengan sejenis bumbung kaca yang membolehkan ruang kabin dalaman lebih terang namun cahaya yang memasuki ruang kabin tersebut diselindungi kaca gelap dan juga penutup bumbung dari dalam kabin yang memberi pilihan kepada pemandu dan penumpangnya akan keperluan kemasukan cahaya ke dalam kabin atau tidak.
Roda-roda yang digunakan bersaiz 21 inci, sebuah saiz yang begitu besar dan padan sekali dengan struktur casisnya yang juga turut mempamerkan imej teguh dan dominen. Seperkara yang menarik tentang BMW i5 ini, sebagai produksi standard, ia didatangkan dengan versi M Sport, iaitu model yang diminati oleh peminat-peminat BMW.
Variasi model M Sport ini adalah sebuah versi sport yang hanya khas untuk kereta daripada Jerman ini. Logo M Sport ini hanya tertera pada bahagian tepi kereta. Melangkah masuk ke ruang kabinnya yang mewah itu, mata saya tertumpu pada meter transistor filem nipis (TFT) yang sememangnya dijangkakan daripada kereta-kereta BMW.
Namun, tumpuan saya bukan hanya kepada paparan meter TFT sahaja tetapi lebih tertarik terhadap meter tersebut yang ‘bersambung’ sehingga ke bahagian tengah papan pemuka dan menjadi skrin infotainmennya. Ia menjadi satu skrin yang bermula daripada belakang stereng pemanduan sehingga ke bahagian tengah yang menjadi skrin untuk sistem infotainmen dan pelarasan mod pemanduan dan enjin.
Melihat pula pada bahagian konsol di tengah, terdapat dua perkara unik untuk BMW i5 ini. Pertama, tombol gearnya yang comel memerlukan pemandunya menukar mod pergerakan kenderaan daripada statik, pemanduan ke hadapan dan fungsi berundur dengan hanya menggunakan dua jari untuk ‘memetik’ suis yang bertindak sebagai tombol gear atau pemilih kelajuan.
Kedua, terdapat satu tombol berbentuk piring kristal yang memberikan satu pengalaman pemanduan yang unik, tetapi kemudahan untuk melaras keperluan dan mod pemanduan kenderaan dengan hanya memusing tombol tersebut. Selain terletak pada konsol tengah, ini turut memudahkan anda memilih navigasi fungsi-fungsi sistem baik dari segi pemilihan fungsi sistem audio, fungsi telefon/peranti atau pilihan media.
Malah, suis penghidup enjin juga diletakkan pada konsol tengah ini yang mana agak berbeza daripada kedudukan suis penghidup enjin dalam kebanyakan kereta yang ada di pasaran.
Ini jelas membolehkan pemandu lebih menumpukan mata pada bahagian hadapan daripada harus menjeling ke arah suis-suis pada konsol tengah atau pada skrin sesentuh sistem infotainmen.
Saya juga sangat jarang memberikan penerangan terhadap sistem pembesar suara audio dalam mana-mana kereta sebelum ini, tetapi fakta bahawa corong audio berjenama Bowers & Wilkins ini dipasang sebanyak 18 corong dan berkuasa sebanyak 655 watt, memberikan satu suasana bunyi yang padat dan padu tanpa sebarang bunyi bingit atau terlalu kedap.
PEMANDUAN
Di dalam laman web rasmi BMW Malaysia, model ini dikatakan mampu mencapai destinasi dari Kuala Lumpur ke Krabi, Thailand sejauh 819 kilometer (km) dengan hanya keperluan berhenti mengecas sebanyak dua kali sahaja. Kebolehan BMW i5 ini mencapai jarak 582km daripada tahap kuasa bateri 100 peratus yang membolehkan anda hanya perlu berhenti sama ada di utara Semenanjung dan sekali lagi di Thailand.
Ini dikatakan mampu memberi keyakinan kepada pemandunya untuk memandu seperti keperluan biasa mana-mana kenderaan berkuasa petrol. Sistem bantuan pemanduan elektronik yang terdapat pada BMW i5 ini tidak terlalu berbeza dengan kenderaan elektrik lain yang terdapat dalam pasaran.
KESIMPULAN
Maka, apakah kelebihan BMW i5 yang membolehkan anda memilihnya daripada jenama-jenama kenderaan EV lain yang berada di pasaran? Imej BMW itu sendiri. Memandu sesebuah kenderaan BMW memastikan anda sedang memandu satu kenderaan yang telah banyak melalui ujian dan keberkesanan pemanduannya di peringkat pembuatan.
Perasaan kemewahan juga turut menjadi satu faktor utama pada pemilikan kereta-kereta berjenama BMW ini. Walau terdapat pelbagai jenama kereta di pasaran luar sana, malah ada yang dijual pada harga yang sama atau mungkin lebih mahal lagi daripada BMW. Namun keberadaan jenama Jerman ini sudah lama bertapak dan memiliki kemewahan ini sejak berkurun lamanya.
Teknologi yang disertakan, sejak dahulu, BMW mempelopori teknologi kejuruteraan mekanikal dan ia terus dilakukan pada model i5 ini, walaupun pada hakikatnya teknologi ini telahpun dimiliki oleh syarikat-syarikat lain.
Oleh itu, BMW i5 eDrive 40 ini, walau dijual pada harga hampir RM400,000 seunit tanpa kos insurans, cukai jalan dan pendaftaran, ternyata berbaloi untuk dimiliki bukan sahaja kerana faktor teknologi dan kejuruteraannya, tetapi imej dan keberadaan jenama ini. – UTUSAN










