Alpha IVF Group catat PATMI RM25.3 juta

Alpha IVF Group catat PATMI RM25.3 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pakar penjagaan kesuburan, Alpha IVF Group Berhad (Alpha IVF Group) dan anak syarikatnya mencatatkan keuntungan bersih yang boleh diagihkan kepada pemegang saham (PATMI) sebanyak RM25.3 juta bagi enam bulan pertama berakhir 30 November 2023.

Menurut kenyataannya, kumpulan merekodkan hasil sebanyak RM80.1 juta bagi tempoh yang sama.

Memandangkan kumpulan belum lagi menjadi entiti tersenarai awam, tiada angka perbandingan bagi tempoh sama pada tahun sebelumnya.

Pada tahun kewangan sebelumnya berakhir 31 Mei 2023, kumpulan mencatatkan hasil RM137.5 juta dan PATMI sebanyak RM53.2 juta.

PATMI pada tahun kewangan 2023 termasuk keuntungan nilai saksama sebanyak RM11.3 juta, tanpanya teras PATMI kumpulan akan menjadi RM41.9 juta.

Pada asas tahunan, prestasi yang lebih baik pada separuh pertama tahun kewangan 2024 berbanding 2023 adalah disebabkan oleh peningkatan dalam permintaan untuk rawatan persenyawaan in-vitro (IVF).

Jelasnya, ini didorong tidak hanya dengan pelancongan perubatan kerana sempadan dibuka semula terutamanya pesakit dari Indonesia dan China, tetapi juga dengan meningkatkan permintaan dalam negeri.

Pada suku kedua pula, Alpha IVF Group mencatatkan hasil sebanyak RM38.5 juta dan PATMI sebanyak RM12.2 juta.

Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Dr. Colin Lee Soon Soo berkata, prestasi kewangan suku kedua menyerlahkan keupayaan Alpha IVF Group mengharungi gelombang perubatan pelancongan dan keperluan yang semakin meningkat untuk rawatan IVF. 

“Prestasi kewangan kami yang positif seiring dengan penyenaraian kami yang akan datang dan profil yang dipertingkatkan di mata umum membolehkan kami memanfaatkan peluang pasaran baharu.

“Kami akan terus melaksanakan rancangan pertumbuhan kami, termasuk mengembangkan perniagaan kami secara tempatan dan serantau serta terus menangani permintaan yang semakin meningkat.”

Alpha IVF Group dijadualkan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Malaysia) pada 22 Mac 2024, pada harga terbitan 32 sen sesaham.

Permodalan pasaran Alpha IVF Group ialah RM1.6 bilion, menjadikannya tawaran awam permulaan (IPO) Pasaran ACE terbesar di Bursa Malaysia.

“Daripada jumlah kutipan sebanyak RM116.6 juta, sejumlah RM72.8 juta akan digunakan untuk membangunkan pusat IVF, klinik satelit dan pejabat wakil jualan baharu sebagai sebahagian daripada strategi pengembangan domestik dan global.

“Selain itu, RM15.7 juta akan diperuntukkan untuk pembesaran dan naik taraf pusat pakar, kemudahan dan pejabat korporat sedia ada, RM2.2 juta untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta baki RM25.9 juta untuk modal kerja am, tujuan am korporat dan membiayai perbelanjaan penyenaraian,” ujarnya.

Alpha IVF Group menyasarkan untuk mengagihkan sekurang-kurangnya 60 peratus daripada keuntungan teraudit tahunan selepas cukai yang boleh diagihkan kepada pemegang saham untuk memberi ganjaran kepada pemegang saham.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×