PETALING JAYA: Pusat Pemprosesan Makanan Inovatif milik Universiti Malaysia Terengganu (UMT ) berupaya mengeluarkan pelbagai produk makanan inovatif yang berkualiti dan dijamin halal.
Menurut UMT, pembukaan pusat itu bagi menyokong usahawan bidang penghasilan makanan mengeluarkan produk makanan baharu seperti Lasagna Daging, Jus Melon Manis Terengganu dan MMT Ice Cream.
Katanya, selain menghasilkan produk makanan terkini, pusat itu juga berperanan sebagai `hab’ bagi penganjuran program latihan pembuatan produk makanan untuk melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan belia dan pelajar selain memberi galakan kepada rakyat tempatan menceburi bidang perniagaan.
Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Mazlan Abd Ghaffar berkata, pusat itu berupaya memberikan kemudahan dan persediaan kepada usahawan bagi mengembangkan lagi perniagaan melalui jalinan kerjasama melibatkan kepakaran UMT dalam mencipta produk baharu.
“Kita sasarkan pusat pemprosesan makanan ini bakal mengeluarkan pelbagai produk makanan inovatif yang berkualiti dan dijamin dari segi halal,” katanya ketika berucap sempena perasmian Pusat Pemprosesan Makanan Inovatif milik syarikat pemula UMT, Syarikat Honey Melon World Sdn. Bhd.
Majlis perasmian pusat itu disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPUT), Afnida Aini Alwi.
Menurut Mazlan, UMT sentiasa berusaha membantu masyarakat melalui pemindahan ilmu dan kepakaran dalam bidang keusahawanan dan pengkomersialan produk inovatif hasil daripada penyelidikan para penyelidik yang kompeten.
Katanya, pusat itu bakal membuka peluang pekerjaan baharu kepada komuniti setempat dan merancakkan lagi aktiviti ekonomi di kawasan Manir khasnya selain memberi manfaat yang besar kepada usahawan industri kecil dan sederhana (IKS).-UTUSAN










