TNB, syarikat Jepun laksana kajian pembakaran neutral karbon

TNB, syarikat Jepun laksana kajian pembakaran neutral karbon

STESEN Janakuasa Tuanku Mukhriz
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tenaga Nasional Bhd. (TNB) sedang melaksanakan kajian bersama IHI Corporation (IHI) untuk merintis projek pembakaran bersama berskala kecil di dua stesen janakuasa miliknya.

TNB dalam satu kenyataan berkata, projek rintis bersama syarikat dari Jepun itu akan membabitkan Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah (SJSAS) di Manjung, Perak dan Stesen Janakuasa Tuanku Mukhriz (SJTM), Port Dickson, Negeri Sembilan.

“IHI mempunyai pengalaman dan kepakaran luas dalam menukar pembakaran bahan api konvensional kepada neutral karbon termasuk biomas dan ammonia beberapa loji janakuasa pelanggannya di Jepun, Malaysia dan Indonesia.

“Projek ini dijalankan oleh anak syarikat milik penuh TNB, TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) dan TNB Fuel Services Sdn Bhd (TNBF) yang berpengalaman dalam perolehan bahan api untuk stesen-stesen janakuasa di Malaysia,” katanya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir. Baharin Din berkata, projek pembakaran bersama ini menandakan kemajuan dalam komitmen TNB terhadap kelestarian dengan peralihan daripada ujian makmal kepada pelaksanaan kajian di stesen janakuasa.

Katanya, selepas berjaya dengan ujian pembakaran satu peratus biomas, TNB melangkah ke peringkat seterusnya dengan memperkenalkan pembakaran bersama melibatkan dua peratus ammonia dan dua peratus biomas.

“Ia adalah satu perkembangan lancar dalam mengurangkan intensiti pelepasan karbon, seiring matlamat Sifar Bersih TNB menjelang 2050.

“Pembakaran bersama satu peratus ammonia dan dua peratus biomas ini dijangka mampu menampung pelepasan karbon setara dengan 71,000 kereta penumpang setahun, memperlihatkan impak positif terhadap alam sekitar,” katanya.

TNB berkata, percubaan pembakaran bersama satu peratus biomas (pellet EFB) berjaya dilaksanakan di SJTM pada 10 hingga 14 September 2023, sekali gus mengesahkan kebolehlaksanaan projek ini dengan iklim tempatan.

Pengurus Eksekutif dan Presiden Bahagian Sumber, Tenaga, dan Alam Sekitar IHI Corporation, Koji Takeda berkata, berterima kasih kepada TNB Genco atas keyakinan terhadap kepakaran IHI serta pengetahuan mereka mengenai teknologi neutral karbon melalui Kerjasama fasa FEED ini.

Beliau juga menyatakan, TNB dan IHI berkongsi hasrat untuk mempercepatkan dekarbonisasi bagi mewujudkan dunia yang lebih baik dan sejahtera.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×