PETALING JAYA: Bekas remisier, Peter Chuah Hock Heng dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dakwaan menipu pelabur dan terlibat dalam aktiviti pasaran modal tidak berlesan.
Menurut Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Chuah Hock Heng, 44, didakwa melakukan perbuatan itu antara Februari dan April 2014 di Petaling Jaya.
Dia didakawa di bawah Seksyen 179(b) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) kerana menipu pelabur.
Katanya, tertuduh didakwa membuat representasi palsu mengenai skim pelaburan yang dikatakan melibatkan pembelian sekuriti.
Jelas SC, Chuah Hock Heng berdepan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang RM1 juta, jika sabit kesalahan.
Selain itu, dia turut menghadapi dua pertuduhan di bawah Seksyen 58(1) CMSA kerana menjalankan perniagaan dalam urusan sekuriti tanpa lesen.
“Urus niaga dalam sekuriti merupakan aktiviti terkawal seperti yang dinyatakan dalam Jadual 2 CMSA dan mana-mana orang yang menjalankan aktiviti ini perlu dilesenkan oleh SC,” jelas SC dalam kenyataan.
Tambah SC, kesalahan itu membawa hukuman denda maksimum RM10 juta atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, tertuduh minta dibicarakan bagi ketiga-tiga pertuduhan yang dibuat di dua mahkamah berasingan.
Bagi pertuduhan mengikut seksyen 179(b) CMSA, Hakim Mahkamah Sesyen, Datin Sabariah Othman membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin.
“Tertuduh juga diperintahkan untuk menyerahkan pasportnya kepada mahkamah dan melaporkan diri kepada Pegawai Penyiasat SC setiap bulan,” jelas SC.
Bagi pertuduhan di bawah seksyen 58(1) CMSA di mahkamah berasingan pula, Hakim Tuan Azrul Darus membenarkan tertuduh ikat jamin sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin serta mengenakan syarat jaminan tambahan yang sama.
SC turut mengingatkan pelabur supaya berhati-hati sebelum melabur dan ketika mempertimbangkan peluang pelaburan. – UTUSAN










