Terminal Kapal Pesiar Antarabangsa Melaka siap 2026

Terminal Kapal Pesiar Antarabangsa Melaka siap 2026

AB. RAUF Yusoh (tengah) menyaksikan Majlis Menandatangani MoU antara MICTSB dan GPH di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Projek Terminal Kapal Pesiar Antarabangsa Melaka (MICT) di Melaka Gateway, Pulau Melaka di sini yang membabitkan kos keseluruhan bernilai RM682 juta dijangka siap dan beroperasi pada 2026.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, terminal terbesar di Asia Tenggara itu bakal menerima pertambahan sebanyak 15.8 juta pelancong terdiri daripada 5.8 juta pelancong domestik, manakala selebihnya adalah pelancong asing.

Menurutnya, menjelang 2036, kerajaan negeri meramalkan perbelanjaan pelancong menggunakan MICT mencecah RM9 bilion.

“Pelancong kapal siar antarabangsa akan menjadikan Melaka sebagai hab untuk kapal pesisir dari Singapura hendak ke Phuket, Thailand singgah di MICT.

“Sebagai salah satu projek terpenting yang dibangunkan di Pulau PME1 Projek Melaka Gateway, saya yakin MICT akan memacu ekonomi Melaka serta Malaysia secara keseluruhannya. Projek terminal ini juga akan mengubah industri pelancongan Melaka daripada ekonomi hujung minggu kepada ekonomi 365 hari.

“Saya pernah cakap hendak bawa Melaka ke dunia luar payah sikit tetapi Melaka lebih mudah bawa dunia ke dalam Melaka. Jadi dunia akan melihat Melaka dengan kaedah pelancongan,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Melaka International Cruise Terminal Sdn. Bhd. (MICTSB) dan Global Port Holdings (GPH) di Seri Negeri di sini, semalam.

Tambah Ab. Rauf, MICT mampu menampung dua unit kapal kelas oasis di dermaga luar, satu unit kelas kuantum dan satu unit kapal persiaran Voyage of the Sea di dermaga dalaman secara serentak.

Menurutnya, projek itu akan mewujudkan antara 45,000 hingga 60,000 peluang pekerjaan kepada penduduk negeri ini.

“Ini sekali gus akan mengubah Melaka menjadi sebuah negeri dengan ekonomi berdaya saing yang menawarkan jumlah pekerjaan bernilai tinggi,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN