Terengganu komited terokai teknologi pengangkutan baharu

Terengganu komited terokai teknologi pengangkutan baharu

TENGKU Farok Hussin Tengku Abdul Jalil (dua dari kanan) diberi penerangan mengenai kenderaan elektrik di Kuala Terengganu, semalam. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu komited meneroka potensi teknologi pengangkutan baharu dan mewujudkan ekosistem kenderaan hijau melalui pembangunan infrastruktur kenderaan elektrik (EV) dan hidrogen di negeri itu pada masa hadapan.

Ketika ini, kerajaan negeri sedang berkolaborasi dengan Gentari Sdn. Bhd. untuk mengadakan satu siri jelajah EV yang berlangsung selama dua hari di sini bermula semalam.

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil berkata, siri jelajah itu bertujuan memberi pendedahan serta kesedaran dalam bidang tenaga bersih terutamanya tenaga boleh diperbaharui dan mobiliti hijau kepada segenap lapisan masyarakat.

Menurutnya, inisiatif itu adalah seiring dengan pengenalan Pelan Induk Teknologi Hijau (PITiH) 2024 – 2030 yang akan dilancarkan pada suku pertama tahun 2024.

“Ini akan menjamin kemapanan tenaga untuk kemakmuran negeri dan mempercepatkan pembangunan industri domestik dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan hijau,” katanya kepada pemberita selepas turun padang ke siri jelajah kenderaan elektrik di sini

Terdapat empat buah EV dan motosikal elektrik dipamerkan dalam siri jelajah kalo ini termasuk kereta Mercedes EQS, BYD Atto 3 dan Motosikal Elektrik Blueshark.

Gentari ialah anak syarikat Petronas yang menawarkan penyelesaian tenaga bersih melalui rangkaian penyelesaian tenaga boleh diperbaharui, hidrogen dan mobiliti hijau untuk pelanggan komersial, perindustrian serta runcit.

Tengku Farok berkata, Gentari adalah antara 12 syarikat pelabur dari pelbagai latar belakang industri yang telah disenarai pendek dan membentangkan cadangan projek dan pelaburan masing-masing dengan kriteria umum serendah RM50 juta sehingga beberapa billion ringgit untuk satu tempoh jangka masa panjang.

Pembentangan itu diadakan sempena penganjuran Hari Pelaburan Terengganu yang dikenali sebagai TBMIC (Terengganu Business Meeting with Investor Community) iaitu sebuah program pertemuan perniagaan bersama para pelabur dan pemegang taruh, baru-baru ini.

Sehubungan itu, beliau berharap penduduk Terengganu tidak melepaskan peluang untuk meneroka potensi kenderaan elektrik melalui siri jelajah yang akan berakhir hari ini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN