PETALING JAYA: Prolintas Managers Sdn. Bhd., pengurus amanah Prolintas Infra Business Trust (Prolintas Infra BT) bakal menjadi syarikat konsesi lebuh raya pertama disenaraikan di Bursa Malaysia Securities Bhd. dijangka suku pertama 2024.
Prolintas Infra BT, Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (Prolintas) telah menandatangani perjanjian taja jamin pelaksanaan tawana awam permulaan (IPO) dengan empat bank pelaburan.
Ia melibatkan AmInvestment Bank Bhd., CIMB Investment Bank Bhd., Maybank Investment Bank Bhd. dan RHB Investment Bank Bhd. (penaja bersama).
Prolintas Infra BT dalam kenyataan, Prolintas Infra BT menjadi lebuh raya pertama Malaysia yang disenaraikan dan juga merupakan penganjur Prolintas Infra BT, Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (Prolintas).
“IPO merangkumi pelaksanaan penyenaraian melalui struktur amanah perniagaan yang terdiri daripada empat lebuh raya yang telah diperoleh daripada Prolintas oleh pengurus pemegang amanah (bagi pihak Prolintas Infra BT).
“Empat lebuh raya itu adalah Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA), dan Sistem Lingkaran Lebuhraya Kajang (SILK),” katanya dalam kenyataan.
Jelas kenyataan itu, IPO Prolintas Infra BT melibatkan tawaran untuk dijual oleh Prolintas, sebanyak 539 juta unit sedia ada dalam Prolintas Infra BT (Unit IPO), mewakili 49 peratus daripada jumlah unit dalam terbitan.
“Pihak penaja bersama telah bersetuju untuk menaja jamin tawaran runcit sebanyak 45.75 juta unit IPO dalam Prolintas Infra BT, mewakili 4.16 peratus daripada jumlah unit dalam terbitan.
“Daripada unit IPO yang menawarkan runcit, 18.25 juta unit akan diperuntukkan kepada pengarah dan pengurusan kanan utama pengurus amanah, kakitangan pengurus pemegang amanah yang layak dan syarikat yang dipegang di bawah Prolintas Infra BT (Kumpulan Amanah) termasuk orang yang telah disumbangkan kepada kejayaan Kumpulan Amanah manakala 27.5 juta unit dikhaskan untuk permohonan oleh orang ramai melalui pengundian,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prolintas, Datuk Mohammad Azlan Abdullah berkata, syarikat itu dijangka disenaraikan pada suku pertama 2024.
“Perjanjian taja jamin melambangkan pencapaian penting bagi Prolintas. Penyenaraian yang penting ini memberi kami peluang untuk membuka nilai aset kami,” katanya.
Pada masa yang sama, beliau menambah, struktur penyenaraian amanah perniagaan ini membolehkan mereka memberikan pulangan yang mampan kepada pemegang unit dalam jangka panjang kerana aset mempunyai keterlihatan pendapatan yang diperlukan. – UTUSAN











