KTM Adventure 790, apabila prestasi menjadi ukuran

PERMOTORAN: KTM Adventure 790, apabila prestasi menjadi ukuran

Sesuai untuk mereka yang sukakan aktiviti luar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APABILA menyenaraikan motosikal lasak atau lebih dikenali sebagai motosikal adventure , nama KTM pasti akan muncul. Mana tidaknya, KTM terlebih dahulu mempopularkan sukan lasak ini dan mencapai kemenangan demi kemenangan melalui kejohanan perlumbaan motosikal dunia yang berprestij.

Begitupun, KTM masih belum memonopoli pasaran tempatan terutamanya dalam kategori motosikal lasak. Jenama seperti BMW GS tetap mendahului senarai penjualan bagi kategori ini.

Saya telah ditawarkan untuk menunggang uji model yang dibawa masuk pada 2023 untuk pasaran Malaysia. Walaupun peminat KTM mengetahui terdapat model 2024 yang telah pun diperkenalkan pada penghujung 2023, namun terdapat perbezaan yang sangat ketara dari segi harga (dan sedikit naik taraf dalam segi teknikal).

Sehubungan dengan itu, ayuh kita kupas tentang jentera yang dapat saya tungganguji kali ini.

REKA BENTUK
Sebuah motosikal lasak dan perjalanan jarak jauh. Motosikal genre seperti ini dahulunya di kenali sebagai ‘Dual Purpose’ atau dwiguna. Ini bermaksud, motosikal ini sesuai digunakan di laluan-laluan berbukit bukau, batu-batuan dan jalan yang tidak ditar. Lebih dikenali sebagai laluan “off road”.

Kelegaan bumi yang terlihat dengan mata kasar pada bahagian bawah enjin, menjanjikan motosikal ini mampu untuk melalui permukaan tidak rata, laluan berlecak, atau pun merentas denai-denai.

Kedudukan pelana yang tinggi, mungkin bakal menyukarkan sedikit pada penunggang yang mempunyai ketinggian kurang dari 5’5”. Namun begitu, KTM Adventure 790 ini didatangkan dengan reka bentuk pelana hadapan yang agak tirus di hadapan.

Ini membolehkan bahagian dalam peha penunggang lebih merapat kepada casis motosikal dan sekaligus memberi keupayaan untuk kaki penunggang lebih senang mencecah permukaan.

Namun, saya rasakan unit yang saya tunggang uji ini telah dilaras kedudukan pelananya untuk lebih rendah bagi membolehkan lebih ramai penunggang pelbagai ketinggian untuk mengendalinya dengan selesa, terutama ketika berhenti atau keadaan statik di lampu isyarat.

Lampu hadapan KTM Adventure 790 ini begitu ikonik kerana rekaannya hampir sama dengan semua KTM DUKE pelbagai saiz kapasiti enjin. Penggunaan LED pada bahagian tepi lampu yang menyerupai sebuah tanduk yang menunduk ke bawah telah menjadi satu rekaan ikonik dan pengenalan untuk motosikal-motosikal KTM.

Roda bersaiz 21 inci di hadapan, memberikan kemudahan pengemudian, terutamanya ketika anda melalui laluan-laluan tidak rata, atau off road. Manakala, bagi peminat tegar KTM, penggunaan suspensi hadapan jenis terbalik dan berjenama WP APEX sudah tentu menjanjikan perlarasan optimum untuk penunggangan “off road” atau jarak jauh (touring).

Jika diintai pada bahagian bawah suspensi, anda akan terlihat satu lagi tambahan sistem bantuan pengemudian iaitu “steering damper”. Juga bagi para peminat tegar motosikal, penggunaan steering damper ini selalunya terdapat pada jentera-jentera lumba namun kini telah mula diaplikasikan pada motosikal-motosikal yang berprofil tinggi dalam pasaran.

Satu lagi ciri ikonik profil rekabentuk KTM ialah penggunaan warna jingga pada skim warna badan. KTM sememangnya terkenal sejak mula diperkenalkan hampir 10 tahun dahulu di Malaysia, dengan skim warna jingganya yang menjadi begitu Ikonik sebagai identiti mereka dalam pasaran motosikal global.

Penunggangan lasak adalah mainannya.

PENUNGGANGAN
Tidak ada kompromi dalam faktor penunggangan bagi motosikal-motosikal KTM. Membekalkan motosikal ini dengan teknologi dua silinder berkembar selari lengkap dengan 8 injap DOHC serta penggunaan 2 palam pencucuh (satu untuk setiap silinder), membolehkan motosikal ini mempunyai kekuatan tujahan yang amat baik.

Generasi enjin KTM LC8c ini menghasilkan 95HP (70kW), dipadankan pula dengan sistem elektronik terkini seperti sistem “ride by wire” dan kotak gear 6 kelajuan menjadikan motosikal berada dalam elemennya ketika penunggangan “off road”. serta keupayaannya menunggang 450km di antara keperluan berhenti mengisi semula petrol dirasakan bermanfaat dalam penunggangan jarak jauh.

Faktor keupayaan penunggangan jarak jauh ini dapat dilakukan kerana kapasiti 20 liter tangki bahan apinya yang direka dengan begitu inovatif. selain rongga utamanya di atas enjin seperti kedudukan tangki bahan api pada motosikal biasa, bersambung dengan dwi rongga lagi jauh kebawah tangki pada kiri dan kanan enjin. Selain membolehkan motosikal ini ditunggang pada jarak yang sangat jauh, ia mampu memberikan penambahan kestabilan graviti yang rendah.

Ketika menunggangnya di jalan raya yang berliku, saya amat mengagumi keupayaan tayarnya yang mencengkam. Adventure 790 ini dibekalkan dengan tayar AVON Trailrider yang pada dasarnya lebih berprestasi ketika menunggang ‘off road’, tetapi nampaknya tidak kurang hebat dalam cengkaman atas jalan raya.

Enjin berkembar selari memberi jaminan tujahan kuasa yang kuat.

KESIMPULAN
KTM dari mula-mula saya mengenalinya memberikan kepuasan dari segi penunggangan. Ini adalah faktor yang tidak dapat dinafikan. Kepuasan menunggang pada seorang “rider” bukan sahaja dapat dicapai pada model-model jalanraya KTM, tetapi turut diperturunkan teknolginya ke model-model lasak mereka. Walau hakikatnya, banyak teknologi yang berada pada model-model KTM adalah sebenarnya di ambil dari motosikal-motosikal lasak dan motosikal perlumbaan. Akan tetapi, KTM memberikan teknologi tersebut pada model-model jualan kepada pasaran awam.

Inilah motosikal KTM. Daripada segi penunggangan dan teknologi, sememangnya sangat jarang timbul ketidakpuasan terhadapnya, walaupun untuk model-model berkapasiti enjin yang rendah seperti 200cc atau 390cc.

Begitu pun, anda tidak salah mengatakan bahawa rekabentuknya mungkin tidak menarik perhatian anda. Malah ada yang mengatakan ianya buruk rupanya. Bagi saya, ianya satu rekabentuk yang unik.

Mungkin rakyat Malaysia lebih biasa dengan rekaan dari negara matahari terbit, dan sememangnya, motosikal dari Austria ini, agak lain reka bentuknya. Walau kini dipasang di Filipina atau India, berbanding Austria, harga seunit untuk KTM ADVENTURE 790 mencecah RM75,800 sebelum kos cukai jalan, pendaftaran dan insurans. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN