PETALING JAYA: MAB Engineering Services (MAB Engineering) dan Impeccable Vintage Properties (IVP) memeterai perjanjian pajakan untuk kemudahan penyelenggaraan Hangar 4 di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (SZB).
Perjanjian tersebut dimeterai di Forum Penerbangan China NAICO Malaysia, susulan surat tawaran dan penerimaan yang ditandatangani di Pameran Penerbangan Selangor pada September 2023.
MAB Engineering berkata, perjanjian itu mewakili peristiwa penting apabila syarikat mengembangkan keupayaan dan jejaknya dalam menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) di rantau ini.
Pemajakan Hangar 4 menyediakan kapasiti operasi untuk menampung satu pesawat badan lebar dan dua badan sempit secara serentak, sekali gus meningkatkan kecekapan untuk menyokong keperluan sektor penerbangan.
Ketua Pegawai Eksekutif Perkhidmatan Penerbangan Malaysia Aviation Group (MAG), Mohd. Nadziruddin Mohd Basri, berkata, perjanjian pajakan ini menandakan pencapaian penting dalam dedikasi syarikat untuk mengembangkan keupayaannya, menyampaikan perkhidmatan yang luar biasa dalam industri penerbangan.
“Kami teruja untuk meningkatkan dan mengukuhkan perkhidmatan MRO kami, yang menyerlahkan komitmen untuk menyediakan perkhidmatan yang cemerlang kepada pelanggan antarabangsa kami.
“Pengembangan ini membolehkan kami meningkatkan standard industri dan memenuhi keperluan pelanggan dan pemegang kepentingan yang semakin berkembang, seterusnya mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju perkhidmatan MRO dalam sektor penerbangan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif IVP, Fuad Sharuji berkata, pelaburannya dalam membaik pulih hangar MRO di Lapangan Terbang SZB adalah sebahagian daripada komitmen strategik syarikat untuk mengukuhkan pertumbuhan sektor penerbangan Malaysia.
“Kami amat berbesar hati kerana perjanjian ini akan memberi peluang kepada MAG untuk mewujudkan kehadiran dan operasi jangka panjangnya di Kompleks A,” ujarnya.
Pada masa ini, MAB Engineering mengendalikan empat kemudahan hangar, termasuk dua di KLIA, satu di Kota Kinabalu, dan satu di SZB khusus untuk penyelenggaraan pesawat turboprop.
Infrastruktur ini menyediakan jumlah kapasiti sehingga 13 ruang pesawat tersedia khusus untuk penyelenggaraan utama dan kecil, serta Heavy Maintenance Visits (HMV), dengan ruang khusus untuk mengecat pesawat. – UTUSAN










