KPKT serah kumpulan pertama Simen Rahmah

KPKT serah kumpulan pertama Simen Rahmah

Pas Kerajaan Perpaduan
NGA KOR MING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyerahkan kumpulan pertama Simen Rahmah ke beberapa buah projek pembinaan di Port Dickson, Negeri Sembilan dan Kuala Krai, Kelantan baru-baru ini.

Menurut KPKT, inisiatif tersebut adalah kerjasama dengan Persatuan Simen dan Konkrit Malaysia (C&CA) serta pemaju perumahan swasta.

Inisiatif Simen Rahmah telah diumumkan pada April 2023 untuk mengurangkan beban kos pembangunan rumah mampu milik dalam usaha mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, inisiatif itu melibatkan harga rumah dalam ka­tegori rumah mampu milik iaitu berharga RM300,000 dan ke bawah untuk kumpulan sasaran B40 dan M40.

“Pelaksanaan inisiatif Simen Rahmah ini selari dengan visi agenda Madani nasional iaitu menyumbang kepada penyediaan rumah mampu milik kepada golongan sasar kumpulan B40 dan M40,” katanya dalam kenya­taan, semalam.

Melalui kerjasama itui, C&CA telah menawarkan KPKT seba­nyak 20 juta beg simen kampit standard 50 kilogram (bersa­maan satu juta tan metrik simen) dengan harga istimewa bagi simen pukal iaitu RM290 tan metrik berbanding harga pasaran semasa RM410.00.

Bagi simen kampit pula ditawarkan dengan harga RM17.50 sekampit pengurangan seba­nyak RM5.00 daripada pasaran semasa.

“Ia akan dibekalkan secara beransur-ansur sehingga 30 Jun 2028 dengan perbezaan harga ditanggung sepenuhnya oleh pengeluar simen.

“Hasilnya, rakyat akan menikmati pengurangan harga rumah sehingga RM5,000 ke atas pembelian bagi setiap unit rumah, bergantung kepada harga dan jenis rumah,” katanya.

Dalam pada itu, C&CA turut menyasarkan agihan 20 juta beg simen dalam usaha membina 24,000 rumah mampu milik dan mengurangkan beban komitmen pinjaman perumahan bulanan rakyat melalui pe­ngurangan harga rumah.

Jelas KPKT, sumbangan besar subsidi berjumlah RM120 juta kepada bakal pembeli rumah itu merupakan antara usaha kerajaan dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat secara keseluruhan.

KPKT menyeru semua pemaju perumahan yang layak untuk menyertai inisiatif itu melalui kelulusan permit iklan dan jualan perumahan melalui Housing Integrated Management System (HIMS).

“Kerajaan Madani melalui KPKT bertanggungjawab menyediakan perumahan yang berkua­liti, kondusif, berdaya huni dan mampu milik untuk rakyat.

“Justeru, kerajaan sentiasa komited dalam menyediakan perumahan mampu milik bagi memastikan setiap rakyat mampu mendiami kediaman yang selesa, selamat dan berdaya huni,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN