KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan memperhalusi cadangan ‘kertas putih’ dalam menyediakan satu model ekonomi baharu melibatkan Ekonomi Manusiawi Mampan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Persidangan Antarabangsa Ekonomi dan Kewangan Islam (ICIEF).
Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, model tersebut bukannya sesuatu yang baharu tetapi perlu diperkemaskan bagi membentuk struktur yang lebih baik.
Katanya, perkongsian perspektif yang pelbagai, mencetuskan perbualan penting dan juga mencadangkan penyelesaian inovatif membantu cara mencipta ekonomi yang mengintegrasikan pengetahuan dan teknologi moden terbaik.
“‘Kertas putih’ ini adalah cadangan mereka kepada kita (kerajaan), tetapi kerajaan akan tengok dahulu apa cadangan yang dikemukakan itu sama ada boleh dilaksanakan atau tidak.
“Saya akan menyemak terlebih dahulu untuk melihat apakah struktur yang dikemukakan khususnya yang berkaitan dengan satu model ekonomi baharu,” katanya ketika ditemui pada majlis penutup ICIEF ke-15 di Sasana Kijang di sini, semalam.
Sementara itu, Zambry berkata, kementerian akan terus menyokong penyelidikan kolaboratif, termasuk dalam bidang khusus ekonomi Islam dan ekonomi sosial yang mungkin tidak mendapat perhatian yang mencukupi daripada industri perbankan dan kewangan Islam.
“Untuk menterjemahkan pengetahuan kepada tindakan, kita mesti mengukuhkan perkongsian antara universiti, industri, dan masyarakat sivil dan sudah tentu agensi kerajaan.
“Dengan memanfaatkan kepakaran, sumber dan perspektif unik setiap sektor, perkongsian ini boleh mempercepatkan pembangunan dan pelaksanaan penyelesaian yang memberi manfaat kepada masyarakat, ekonomi dan alam sekitar,” ujarnya.
ICIEF dianjurkan oleh Kulliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan(KENMS), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan usahasama Kementerian Kewangan Malaysia dan Persatuan Antarabangsa Ekonomi Islam (IAIE).
Persidangan ICIEF bertemakan ‘Driving the Agenda for a Sustainable Humane Economy’ itu disertai lebih 600 peserta dari 50 negara. – UTUSAN










