PETALING JAYA: Inflasi keseluruhan pada Disember 2023 kekal tidak berubah pada 1.5 peratus, manakala inflasi teras menurun sedikit kepada 1.9 peratus daripada 2.0 peratus bulan sebelumnya, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).
Dalam laporan Sorotan Bulanan Disember 2023, Bank Pusat itu berkata, penurunan inflasi teras disebabkan inflasi yang lebih rendah untuk makanan di luar rumah sebanyak 3.4 peratus berbanding 3.9 peratus bulan sebelumnya.
BNM turut mengumumkan pertumbuhan mampan dalam kredit kepada sektor swasta bukan kewangan yang meningkat sebanyak 4.7 peratus pada akhir Disember 2023 daripada 4.6 peratus pada November, disokong terutamanya oleh pertumbuhan kredit yang lebih tinggi kepada perniagaan.
Pertumbuhan pinjaman perniagaan terkumpul juga meningkat kepada 3.6 peratus daripada 2.7 peratus pada November, didorong terutama oleh pertumbuhan yang lebih tinggi dalam pinjaman modal.
“Yang ketara, pertumbuhan pinjaman perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terus bertambah baik pada 8.2 peratus (November 7.9 peratus). Walau bagaimanapun, pertumbuhan bon korporat terkumpul menurun sedikit kepada 4.2 peratus (November 4.6 peratus).
“Bagi isi rumah, pertumbuhan pinjaman terkumpul kekal mampan pada 5.6 peratus, disokong oleh pertumbuhan yang secara amnya stabil merentas kebanyakan tunjuan pinjaman.
“Keadaan ini mencerminkan permintaan pinjaman yang berterusan dengan pertumbuhan permohonan pinjaman yang lebih tinggi pada 26.0 peatus (November, 13.5 peratus),” katanya dalam laporan itu.
Mengenai pasaran kewangan domestik, Bank Pusat berkata, pasaran kewangan domestik dipengaruhi terutamanya oleh jangkaan pelabur global terhadap pengurangan kadar dasar Amerika Syarikat (AS) pada 2024.
Menurutnya, keadaan pasaran global didorong oleh jangkaan pasaran kewangan bahawa Rizab Persekutuan (Fed) AS akan mula menurunkan kadar faedah dasar seawal tahun ini, disebabkan oleh disinflasi yang berterusan.
Sentimen pelabur itu katanya, dicerminkan oleh kadar hasil bon global yang menurun dan pada masa yang sama pasaran ekuiti global diniagakan lebih tinggi.
“Berlatarkan keadaan ini, ringgit menambah nilai sebanyak 1.3 peratus berbanding dengan dolar AS (purata serantau: +0.6 peratus), manakala kadar hasil MGS 10 tahun menurun sebanyak 7 mata asas (purata serantau: -29 mata asas). Sementara itu, FBM KLCI didagangkan lebih tinggi sedikit sebanyak 0.1 peratus, sejajar dengan bursa saham lain (purata serantau: 3.2 peratus),” jelasnya.
Dalam pada itu, BNM berkata, kualiti aset sistem perbankan kekal utuh dengan nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih keseluruhan pada amnya kekal stabil, masing-masing pada 1.6 peratus dan 1.1 peratus.
Nisbah perlindungan kerugian pinjaman (termasuk rizab pengawalseliaan) pula katanya, terus berada pada tahap berhemat sebanyak 119.2 peatus daripada pinjaman terjejas, dengan jumlah peruntukan mencakupi 1.5 peratus daripada jumlah pinjaman.
“Nisbah Perlindungan Mudah Tunai keseluruhan sistem perbankan meningkat pada Disember apabila bank-bank menguruskan penampan secara proaktif bagi menangani ketidaktentuan bermusim tahap deposit yang dijangka pada akhir tahun. Nisbah pinjaman kepada dana agregat sebahagian besarnya kekal stabil pada 81.8 peratus (November 2023: 82.5 peratus),” katanya. – UTUSAN










