HULU SELANGOR: Gas Malaysia Berhad (Gas Malaysia) optimis dengan perkembangan ekonomi domestik dan dunia semasa untuk mencatatkan pertumbuhan dalam perniagaannya antara tiga hingga lima peratus pada tahun ini.
Unjuran tersebut dijangka berdasarkan peningkatan kira-kira 40 pelanggan baharu dalam sektor perindustrian pada tahun lalu membolehkan Gas Malaysia mengekalkan penguasaan terhadap kumpulan itu yang merupakan 99 peratus daripada pelanggannya secara keseluruhan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Ahmad Hashimi Abdul Manap berkata, kitaran permintaan gas asli daripada syarikatnya stabil walaupun ketika berada dalam fasa pandemik Covid-19 pada 2020 hingga 2021.
“Kami ada kelebihan melalui pemilikan pelanggan dalam pelbagai sektor, satu sektor turun contohnya kalau getah turun yang lain seperti kaca, seramik, kertas dan sebagainya naik, jadi kita ada analyst consumption tetapi overall memang ada penurunan.
“Kita forecast pada 2024 akan ada peningkatan penggunaan gas berbanding 2023, sukar jangka tetapi saya berpandangan boleh jadi tiga hingga lima peratus peningkatan. Sekarang lebih 1,300 pelanggan Gas Malaysia yang turut ditampung oleh penggunaan domestik dan komersial,” katanya ketika ditemui dalam program tanggungjawab sosial (CSR) Back-To-School di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Batang Kali, semalam.
Terdahulu, syarikat pembekal gas asli itu dilapor akan melebarkan pengedaran bekalan gas asli menerusi paip antara 150 hingga 200 kilometer (km) dalam tempoh lima tahun bermula 2024 dengan jumlah pelaburan sehingga RM1.4 bilion.
Dalam pada itu, beliau menambah, Gas Malaysia kini dalam fasa meneroka perniagaan pembekalan gas asli melalui bio-metana yang lebih mesra alam dan menepati dasar alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) seperti dilancarkan pada suku terakhir tahun lalu.
“Kemudian kita mula fokus kepada penerokaan perniagaan yang bukan core business contohnya sektor bio-metana on green energy.
“Jadi, banyak aktiviti pemprosesan bio-metana seperti kerjasama dengan pelbagai pihak. Kita sekarang sudah sampai peringkat beli bio-metana, proses dan bekalkan dalam pipeline kita. (Itu) menunjukkan kita ada komitmen dalam menghijaukan tenaga yang disalurkan sejajar dengan ESG,” jelasnya. – UTUSAN










