PETALING JAYA: Eksport barangan Malaysia dijangka pulih dan berkembang 5.2 peratus tahun ini daripada penguncupan sebanyak -8 peratus tahun lalu, didorong oleh pemulihan dalam aktiviti perdagangan dan pengeluaran global, menurut MIDF Research.
Firma penyelidikan itu berkata, keyakinan dalam kalangan pengeluar meningkat sedikit daripada Disember 2023, dengan pengeluar tempatan terus menjangkakan permintaan bertambah baik.
Katanya, aktiviti kilang di Malaysia merosot bulan lalu namun pada kadar paling perlahan dalam tempoh 19 bulan.
“Indeks Pengurus Pembelian (PMI) yang lebih tinggi (tetapi masih di bawah 50) menunjukkan penurunan dalam output, pesanan baharu dan eksport lebih perlahan.
“Pengilang tempatan juga menunjukkan pengurangan yang lebih perlahan dalam tunggakan, yang mungkin mencadangkan tekanan yang semakin meningkat pada kapasiti firma di tengah-tengah kejatuhan lebih perlahan dalam pesanan baharu,” katanya dalam nota kajian.
Kelmarin, S&P Global melaporkan bahawa sektor pengilang Malaysia meningkat sedikit pada Januari 2024 berbanding Disember lalu, di tengah-tengah tanda peningkatan permintaan.
PMI pembuatan S&P Global Malaysia yang diselaraskan secara musim mencatatkan 49 mata pada Januari, meningkat daripada 47.9 pada Disember dan tertinggi sejak September 2022, paras tertinggi dalam tempoh 16 bulan.
Sehubungan itu, bacaan terkini menunjukkan bahawa kemelesetan tahun lalu semakin kehilangan momentum dan meletakkan sektor pembuatan Malaysia di landasan untuk pemulihan secara beransur-ansur.
Menurut MIDF Research, tekanan harga juga berkurangan kerana tekanan kos yang berkurangan membawa kepada kenaikan harga jualan yang lebih perlahan.
“Semua ini selaras dengan trend terkini dalam harga pengeluar dan pengguna,” katanya.
Sementara itu, PMI pembuatan ISM Amerika Syarikat (AS) meningkat kepada 49.1 pada Januari 2024 daripada 47.1 Disember 2023, dengan pesanan baharu kembali kepada pertumbuhan.
Bagi China pula, walaupun PMI pembuatan Caixin kekal pada 50.8 pada Januari 2024, aktiviti pembuatan kekal berkembang untuk bulan ketiga berturut-turut.
Negara serantau seperti Indonesia, Thailand, Vietnam, Taiwan dan Korea Selatan juga melaporkan bacaan yang lebih tinggi pada bulan lalu, menurut laporan. – UTUSAN










