PETALING JAYA: Koperasi Co-opbank Pertama Malaysia Berhad (CBP) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) menjalin kerjasama bagi menawarkan pakej pembiayaan peribadi kepada kakitangan ANGKASA dan koperasi.
Menerusi kerjasama ini, CBP bakal menawarkan pakej pembiayaan peribadi kepada kakitangan ANGKASA pada kadar yang istimewa dengan pembayaran balik menerusi Potongan Gaji Majikan (PGM).
Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Khairil Anuar Mohammad Anuar berkata, kakitangan ANGKASA akan menikmati kadar pembiayaan peribadi yang rendah setanding dengan kadar yang ditawarkan kepada kakitangan awam.
Kata beliau, penawaran pakej istimewa itu bakal memberi kelebihan kepada kakitangan-kakitangan ANGKASA untuk dalam mendapatkan pembiayaan pada kadar yang lebih rendah berbanding institusi-institusi kewangan yang lain.
“Mlalui kerjasama ini juga ANGKASA telah bersetuju untuk melaksanakan pembayaran balik potongan gaji kepada CBP melalui proses pelarasan (knock-off) melalui Sistem Potongan Gaji ANGKASA (SPGA).
“Pembayaran balik secara pelarasan ini akan memudahkan pihak CBP mendapatkan bayaran balik daripada koperasi kerana tarikh pembayaran oleh ANGKASA akan diselaraskan kepada satu tarikh sahaja pada setiap bulan berbanding cara pembayaran sekarang di mana tarikh bayaran bergantung kepada tarikh proses bayaran perbendaharaan majikan peminjam kepada ANGKASA,” katanya dalam kenyataan
Khairil Anuar berkata, kerjasama itu dilihat bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada CBP, tetapi juga kepada kakitangan ANGKASA dan koperasi yang mendapatkan pembiayaan daripada CBP.
Tambahnya lagi, kerjasama itu dapat meluaskan lagi capaian sasaran pelanggan CBP yang tidak hanya melibatkan individu, tetapi juga koperasi di negara ini.
CBP telah ditubuhkan pada 7 Jun 1950. Pada September 2014, CBP telah diiktiraf oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Bank Negara Malaysia (BNM) sebagai sebuah co-opbank.
CBP mempunyai 33 buah cawangan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. Ia menawarkan pelbagai produk perbankan patuh syariah termasuk perkhidmatan Ar-Rahnu. – UTUSAN










