KUALA LUMPUR: Sime Darby Motors dan BYD baru-baru ini melancarkan model kereta elektrik (EV), BYD SEAL, model sedan elektrik sepenuhnya serba baharu dengan teknologi terkini ditawarkan pada harga bermula daripada RM179,800.
Menerusi pelancaran itu, BYD SEAL akan menetapkan piawaian baharu dalam pengalaman pemanduan elektrik, melambangkan kemajuan besar bagi BYD, sekali gus meneruskan transformasi Malaysia ke arah penggunaan pengangkutan elektrik.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby Berhad, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, pengenalan BYD SEAL di Malaysia amat bermakna kepada pasaran EV yang sedang berkembang pesat.
Katanya, berbekalkan teknologi canggih, reka bentuk hebat dan prestasi luar biasa, BYD SEAL terserlah sebagai salah satu daripada EV paling menarik di pasaran pada hari ini.
“Buktinya ialah minat luar biasa yang ditunjukkan oleh pengguna yang menantikan pelancaran ini. Minat yang ditunjukkan oleh pengguna sebelum pelancaran amat positif.
“Kami teruja untuk melihat bagaimana ia akan membentuk semula e-pengangkutan di Malaysia dan rantau ini,” katanya selepas majlis pelancaran itu.
Pelancaran disempurnakan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
BYD menampilkan dua varian iaitu Premium AWD pada harga RM179,800 dan Performance AWD berharga RM199,800 dalam empat pilihan warna iaitu Biru Artik, Cosmos Black, Atlantis Grey dan Aurora White.
Lebih 800 tempahan awal akan menikmati pengecas ‘wallbox’ percuma dan kredit cas Gentari atau ChargEV bernilai RM800 secara percuma.
Sementara itu, Pengurus Besar Bahagian Jualan Auto Asia Pasifik BYD, Liu Xueliang berkata, pelancaran BYD SEAL adalah detik yang sangat bermakna bagi BYD di Malaysia.
Jelas beliau, model baharu itu melambangkan pendekatan BYD terhadap inovasi dan kualiti serta usaha berterusannya ke arah kecemerlangan.
“Direka cipta untuk keselesaan dan kecekapan, ia menawarkan nilai yang tersendiri sebagai sedan elektrik berteknologi tinggi yang menyediakan ruang jauh lebih luas untuk kegunaan keluarga dan individu,” katanya.
BYD SEAL turut menawarkan pakej waranti yang menyeluruh di mana termasuk pakej waranti kenderaan enam tahun atau 150,000 kilometer (km), waranti bateri hebat selama lapan tahun atau 160,000km serta waranti unit pemacu yang setanding untuk tempoh lapan tahun atau 150,000km.
Dengan waranti yang mendahului industri, BYD membuktikan dedikasi mereka untuk menyediakan sokongan lepas jualan yang tiada tandingan, memastikan setiap pemilik BYD menikmati keyakinan dan kepuasan tertinggi dari segi pengalaman pemilikan. – UTUSAN










