Mengisi Kelompangan Bakat dalam Pusat Data Moden

BICARA NIAGA: Mengisi Kelompangan Bakat dalam Pusat Data Moden

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

Dalam era serba digital hari ini, pusat data memainkan peranan penting dalam menempatkan dan menguruskan maklumat berjumlah besar yang dijana oleh individu, perniagaan, dan kerajaan. Kemudahan ini berfungsi sebagai tulang belakang teknologi moden, menyokong segala yang berkaitan dengan data, dari pengkomputeran awan hingga kepada kecerdasan buatan.

Oleh kerana negara kita mempunyai ketersediaan tanah yang luas dan sumber tenaga yang tersedia, ketersambungan global yang lancar, dan peraturan kerajaan yang menyokong industri, Malaysia telah muncul sebagai destinasi strategik dan ideal untuk pelaburan dalam pusat data. Menurut laporan Kertas Putih Pusat Data Malaysia oleh Knight Frank, Malaysia ketika ini dianggap sebagai lokasi terbaik untuk pelaburan pusat data di Asia Tenggara, dengan penggunaan tenaga sebanyak 113MW pada tahun 2022. Namun, seiring dengan permintaan yang pesat terhadap pusat data, satu isu yang mendesak menjadi cabaran utama ialah kekurangan bakat dalam industri yang kritikal ini.

Perkembangan pesat pusat data telah mewujudkan permintaan yang tinggi terhadap profesional berkemahiran yang mahir mereka bentuk, membina, mengendalikan, dan menyelenggara infrastruktur kompleks ini. Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) pada Disember 2022 meramalkan permintaan terhadap bakat berkenaan diunjurkan mengalami Kadar Pertumbuhan Tahunan Kompaun (CAGR) 7.59 peratus setahun dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Persaingan untuk bakat pusat data

Laporan oleh Uptime Institute menunjukkan bahawa menjelang 2025, sekurang-kurangnya 2.3 juta kakitangan sepenuh masa diperlukan untuk memastikan pusat data di seluruh dunia dapat beroperasi, dengan kebanyakan permintaan datang dari gergasi internet dan penyedia kolokasi di Asia Pasifik, Asia Barat dan Afrika.

Bagi menangani kelompangan bakat pusat data, pemimpin industri perlu bekerjasama bagi menambah baik perekrutan, menambah baik latihan dan meningkatkan kesedaran mengenai peluang yang ditawarkan. Strategi pengambilan pekerja dan pementoran tradisional hendaklah digantikan dengan pendekatan baharu yang memanfaatkan trend transformasi dan inovasi digital terkini. Berikut adalah tiga cara untuk mengisi kelompangan bakat pusat data:

• Memanfaatkan ekonomi gig bagi memenuhi kekurangan bakat teknologi
Dengan anggaran nilai RM1.61 bilion, ekonomi gig di Malaysia sedang mengalami peningkatan yang ketara, dan platform tempatan diunjurkan berkembang dari RM371.4 juta pada tahun 2021 kepada RM650 juta menjelang tahun 2025, menurut ucapan Timbalan Perdana Menteri kita. Trend kontrak jangka pendek dan kerja bebas ini merupakan ciri ekonomi gig yang kini semakin popular dan diterima secara meluas di seluruh dunia. Menurut hasil penemuan EMIR Research pada tahun 2020, kira-kira 3.9 juta pekerja di Malaysia, merangkumi kira-kira 25 peratus daripada tenaga kerja, tergolong dalam kategori pekerja gig.

Syarikat pusat data mempunyai peluang untuk memanfaatkan golongan pekerja gig yang berkemahiran ini untuk mengakses rangkaian luas profesional yang boleh disesuaikan dan memajukan projek dengan cepat tanpa memerlukan prosedur pengambilan yang memakan masa. Selain daripada itu, pekerja gig boleh diambil bekerja untuk jangka masa yang pendek bagi menangani tugas-tugas bukan teras atau menangani peningkatan permintaan yang mendadak. Fleksibiliti ini membolehkan syarikat kekal tangkas dan responsif terhadap perubahan keperluan perniagaan di samping membantu mengawal kos.

• Mengiktiraf kepentingan kemahiran bukan tradisional dan boleh dipindahkan
Pusat data memerlukan pelbagai kemahiran yang melangkaui kepakaran teknikal. Individu yang mempunyai latar belakang dalam bidang seperti pengurusan projek, logistik, perkhidmatan pelanggan, dan juga seni turut memiliki kemahiran yang boleh dipindahkan yang sangat sesuai untuk operasi pusat data. Dengan memanfaatkan kumpulan berbakat ini, pemain pusat data boleh mengakses rangkaian luas profesional yang boleh disesuaikan, menyumbang kepada projek tanpa melibatkan prosedur pengambilan yang memakan masa.

Dalam kebanyakan kes, pekerja bukan tradisional mungkin memiliki keupayaan unik yang dapat menyerlahkan potensi tersembunyi, walaupun ia tidak dapat dilihat pada awalnya. Pemain pusat data boleh mengubah keperluan uraian kerja bagi mewujudkan kumpulan bakat yang lebih inklusif dan beraneka ragam. Dengan berbuat demikian, mereka dapat memupuk tenaga kerja yang pelbagai dan dinamik, membawa perspektif baharu dan penyelesaian inovatif kepada industri. Bagi membantu individu-individu ini mendapat kemahiran yang diperlukan untuk berjaya, penawaran program latihan dan persijilan dapat merapatkan jurang antara bakat bukan tradisional dan keperluan pusat data.

• Pementoran sebagai alat libat urus dan pencetus inpirasi
Dalam Belanjawan 2024 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, terdapat beberapa inisiatif yang disasarkan untuk menangani kelompangan bakat tempatan dan ketidakpadanan kemahiran. Selain usaha kerajaan, pemimpin syarikat juga boleh memberi inspirasi kepada individu muda untuk mempertimbangkan kerjaya dalam bidang teknologi, bersama-sama memainkan peranan penting dalam menyokong pemupukan generasi bakat pusat data yang seterusnya menerusi program latihan perindustrian atau yang berkaitan dengan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Pementoran juga dapat membantu menyokong perkembangan profesional pekerja senior dan muda. Dengan menggandingkan profesional berpengalaman dengan mereka yang baru memulakan kerjaya, program pementoran dapat membantu meningkatkan kemahiran dan memberi bimbingan bagi membantu merapatkan jurang kemahiran.

Platform pembangunan profesional yang khusus seperti Schneider Electric University juga dapat membantu merapatkan jurang kemahiran dalam industri pusat data dengan membantu pemain industri menaik taraf kemahiran mereka dan mengikuti perkembangan teknologi baharu, kemampanan, dan kecekapan tenaga.

Kekurangan tenaga mahir dalam pusat data adalah isu serius, tetapi ia boleh diatasi. Dengan mengambil langkah-langkah untuk mewujudkan tenaga kerja yang lebih inklusif dan beraneka ragam, industri ini akan terus berkembang maju, membangun, dan memenuhi potensi pendigitalan.

PENULIS ialah Ketua Bahagian  Kuasa Terjamin (Secure Power) Schneider Electric Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN