PETALING JAYA: Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini berikutan pengambilan untung dalam kalangan saham wajaran tinggi manakala sentimen berhati-hati berleluasa di pasaran serantau, kata peniaga.
Pada pukul 9.15 pagi, FBM KLCI susut 0.82 mata kepada 1,512.16, daripada penutup Rabu pada 1,512.98 mata, memetika laporan Bernama.
Indeks barometer dibuka 3.63 mata lebih mudah pada 1,509.35, menurut laporan itu.
Di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi untung sebanyak 304 berbanding 155, manakala 310 kaunter tidak berubah, 1,455 tidak diniagakan dan 15 yang lain digantung.
Jumlah dagangan berjumlah 421.14 juta unit bernilai RM261.50 juta.
Firma penyelidikan Sekuriti Melaka berkata, KLCI bersama FBM Small Cap, `berundur’ untuk satu lagi sesi kelmarin, apabila aktiviti pengambilan untung bermula sebelum cuti Hari Wilayah semalam.
Sementara itu katanya, pasaran saham AS bertukar tidak menentu selepas Rizab Persekutuan (Fed) memuktamadkan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan dengan kadar faedah tidak berubah, mengesahkan kadar faedah AS berada di puncaknya.
Malah katanya, pemotongan kadar faedah pada Mac kemungkinan tidak berlaku.
“Oleh itu, pasaran menetapkan harga dalam pemotongan kadar yang mungkin berlaku pada separuh kedua 2024, dan akan memantau dengan teliti laporan pendapatan dan pekerjaan korporat lewat hari ini,” katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Malayan Banking Bhd. (Maybank) tidak berubah pada RM9.26 sesaham, manakala Public Bank Bhd. pula menambah tiga sen kepada RM4.42.
CIMB Group Holdings Bhd. pula pada RM6.22 dan Petronas Chemicals Group Bhd pada RM6.76 masing-masing susut satu sen, sementara Tenaga Nasional Bhd. turun lapan sen kepada RM10.64.
Bagi saham aktif, Minetech Resources Bhd. naik satu sen kepada 15.5 sen dan TSA Group Bhd. naik empat sen kepada 59 sen, manakala Malaysian Resources Corp Bhd. (MRCB) susut empat sen kepada 61 sen dan TWL Holdings Bhd. susut setengah sen kepada 3.5 sen. – UTUSAN










