PETALING JAYA: AEON Co. (M) Bhd. (AEON) mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM114.8 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023, peningkatan 3.2 peratus daripada RM111.2 juta yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.
Syarikat juga mencatatkan PAT yang lebih tinggi sebanyak RM32.6 juta bagi suku keempat, melonjak 30.9 peratus berbanding RM24.9 juta pada suku sama tahun 2022.
Segmen perniagaan runcit melaporkan hasil sebanyak RM859.0 juta, mencerminkan penurunan 4.9 peratus berbanding RM903.7 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya, didorong oleh asas yang lebih tinggi.
Hasil daripada segmen perkhidmatan pengurusan hartanah meningkat kepada RM174.3 juta, 10.2 peratus lebih tinggi berbanding suku yang sama tahun sebelum pada RM158.1 juta.
Pertumbuhan itu disumbangkan oleh peningkatan dalam kadar penghunian dan penyewaan yang berkesan pembaharuan.
Lembaga Pengarah telah mencadangkan dividen akhir sebanyak 4.0 sen sesaham biasa untuk tahun kewangan 2023 yang bersamaan dengan RM56.2 juta atau 49 peratus nisbah pembayaran, tertakluk kepada kelulusan pemegang saham.
Pengarah Urusan AEON, Keiji Ono berkata, pihaknya bersyukur dengan keputusan akhir tahun yang dijayakan oleh sokongan padu daripada AEON People, rakan kongsi perniagaan dan pelanggannya.
“Pertumbuhan keuntungan kami adalah hasil daripada komitmen kami dalam mencipta nilai pelanggan yang pelbagai melalui gabungan portfolio produk kami, terutamanya jenama persendirian serta mempercepatkan peralihan digital dan melaksanakan inisiatif kemampanan, sambil menguruskan kos operasi dengan berkesan,” ujarnya.-UTUSAN










