Untung bersih CTOS Digital melonjak 65 peratus

Untung bersih CTOS Digital melonjak 65 peratus

ERIC HAMBURGER
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: CTOS Digital Berhad (CTOS Digital) mencatatkan lonjakan keuntungan bersih sebanyak 65 peatus tahun ke tahun kepada RM118.2 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (TK2023), daripada RM71.7 juta tahun sebelumnya.

Hasil Kumpulan turut meningkat sebanyak 34 peratus kepada RM261.4 juta daripada RM194.8 juta yang dicatatkan setahun lalu.

Kumpulan itu berkata, ia disokong oleh pertumbuhan dua digit merentas ketiga-tiga segmen pelanggan (Akaun Utama, Komersial dan Terus-kepada-Pengguna).

“Kumpulan juga menyaksikan peningkatan sumbangan hasil daripada semua perkhidmatannya, dengan penyelesaian digital dan semakan portfolio komprehensif dan analitik memimpin lonjakan.

“Operasi antarabangsa yang terdiri daripada mengambil alih baharu anak syarikat Prime Analytics di Indonesia dan Finscore di Filipina menunjukkan momentum positif, menyumbang RM6.0 juta kepada hasil Kumpulan,” katanya dalam kenyataan.

Pada suku keempat (S4) berakhir 31 Disember 2023, hasil meningkat 39 peratus kepada RM73.2 juta daripada RM52.7 juta.

Selain itu, keuntungan bersih suku berkenaan menunjukkan lonjakan besar sebanyak 301 peratus kepada RM56.2 juta daripada RM14.0 juta tempoh sama tahun sebelumnya.

“Ia didorong oleh hasil yang lebih tinggi dan cukai tulis balik berikutan penerimaan kelulusan daripada Kementerian Kewangan pada lanjutan insentif cukai lima tahun untuk CTOS Data Systems Sdn. Bhd. sehingga 8 November 2026,” katanya lagi.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CTOS Digital, Erick Hamburger berkata, Kumpulan merekodkan satu lagi prestasi kewangan yang cemerlang, didorong oleh permintaan yang melonjak untuk cerapan dan pendigitalan dipacu data.

Katanya, pencapaian kewangan Kumpulan untuk TK2023 merupakan peristiwa penting, dengan keuntungan bersih mengatasi RM100 juta buat pertama kali.

“Kami meramalkan prestasi kukuh yang berterusan, didorong oleh peningkatan penggunaan penyelesaian digital kami yang inovatif dan pandangan analitikal yang mendalam.

“Inisiatif transformasi digital yang semakin pantas dalam industri perkhidmatan kewangan, ditambah dengan peningkatan celik kewangan dalam kalangan pengguna, menetapkan asas untuk pertumbuhan berterusan dan mampan CTOS,” katanya.

CTOS Digital mengisytiharkan dividen peringkat keempat pada 1.706 sen sesaham biasa bagi tempoh tiga bulan berakhir 31 Disember 2023, yang akan dibayar pada 27 Mac 2024.

Ia diterjemahkan kepada nisbah pembayaran sebanyak 70 peratus untuk suku tersebut. Jumlah pembayaran dividen bagi TK2023 ialah 3.3 sen sesaham berjumlah RM76.9 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×