PETALING JAYA: UEM Group Berhad (UEM Group) melalui anak syarikatnya, UEM Lestra Berhad (UEM Lestra) bersama HEXA Renewables Malaysia Sdn. Bhd. (HEXA Renewables) dan ITRAMAS Corporation Sdn. Bhd. (ITRAMAS) menandatangani perjanjian kerjasama untuk membangunkan loji janakuasa solar hibrid 500 megawatt (MW) pertama di Segamat, Johor.
Perjanjian yang ditandatangani adalah sebahagian daripada kerjasama ketiga-tiga syarikat dalam usaha membangunkan loji jana kuasa solar hibrid bersaiz satu gigawatt (1GW) yang diumumkan kerajaan pada Julai 2023.
Dalam perjanjian semalam, UEM Lestra dan HEXA Renewables akan menubuhkan syarikat usahasama (JV) dikenali sebagai Lestra Hexa JV Sdn. Bhd. dengan UEM Lestra memegang 51 peratus kepentingan dan bakinya, 49 peratus dimiliki HEXA Renewables.
Selain itu, Lestra Hexa JV dan ITRAMAS menandatangani perjanjian kerjasama teknikal di mana ITRAMAS akan menyediakan perkhidmatan teknikal dalam membangunkan satu pakej EPCC yang lengkap.
Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Pengerusi UEM Lestra yang juga Pengarah Urusan UEM Group, Datuk Mohd. Izani Ghani, manakala HEXA Renewables diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Vince Choi. ITRAMAS pula diwakili oleh Pengarah Urusan Kumpulan, Lee Choo Boo.
Majlis disaksikan oleh Pengerusi UEM Group, Datuk Amran Hafiz Affifudin dan Harsh Agrawal, Rakan Kongsi Kanan, I Squared Capital iaitu syarikat induk HEXA Renewables dan Pengarah Eksekutif ITRAMAS, Tunku Hammam Tunku Sulong.
Mohd. Izani berkata, usaha merealisasikan projek peralihan tenaga strategik dan bernilai tinggi negara itu telah bermula dengan baik.
“Di samping membentuk kerjasama secara rasmi dengan HEXA Renewables dan ITRAMAS, kita juga telah mendapatkan kawasan tanah yang sesuai di Segamat, Johor selaku tapak bagi loji janakuasa solar hibrid 500MW ini.
“Sukacita ingin saya kongsikan bahawa perbincangan dengan syarikat-syarikat yang berpotensi untuk menjadi pembeli kuasa solar 500MW ini juga telah berjalan dengan positif dan butiran lanjut akan dimuktamadkan dalam masa beberapa bulan ke hadapan.
“Tambahan pula, kita akan bekerjasama dengan kerajaan berhubung butiran bagi kerangka Akses Pihak Ketiga (Third Party Access (TPA) yang akan membolehkan projek ini mula beroperasi,” katanya.
Bagi baki 500MW, Mohd. Izani memaklumkan, perbincangan di antara UEM Lestra dan rakan-rakan perniagaan yang lain sedang berlangsung dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan di masa hadapan. – UTUSAN










