KUALA TERENGGANU: Anak syarikat kerajaan negeri Terengganu, TDM Bhd. memperuntukkan sejumlah RM29.1 juta pelaburan dalam bidang penjagaan kesihatan di dua hospital miliknya pada tahun ini.
Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM14.1 juta adalah untuk urusniaga pembelian tanah untuk pembinaan sebuah hospital baharu di Chukai, Kemaman.
“Sebanyak RM15 juta lagi adalah untuk pembelian Hospital Bersalin Razif yang kini beroperasi di Klang, Selangor dengan kapasiti 36 katil.
“Kedua-dua hospital yang dikelolakan oleh Kumpulan Medic Iman Sdn. Bhd. (KMI Healthcare) ini adalah fokus TDM bagi segmen penjagaan kesihatan yang kini menunjukkan prestasi memberangsangkan dalam pendapatan syarikat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bayaran perkongsian sebanyak RM2.9 juta kepada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT), di sini, semalam.
Bayaran tersebut adalah sebahagian daripada perjanjian perkongsian keuntungan usaha sama syarikat yang disampaikan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil merangkap Pengerusi TDM.
Mengulas lanjut, beliau berkata, keuntungan yang disalurkan itu adalah bukti komitmen TDM dalam memberikan pulangan yang mampan bagi setiap pelaburan yang diamanahkan.
Menurutnya, pencapaian itu turut disumbangkan oleh pelaksanaan pelan perniagaan strategik syarikat yang dijalankan secara berdisiplin dan sokongan berterusan tidak berbelah bahagi daripada kakitangan syarikat yang berdedikasi.
“Selain penjagaan kesihatan, TDM juga memberi fokus kepada bahagian perladangan yang diuruskan oleh TDM Plantation Sdn Bhd (TDMP) menerusi usaha sama yang dimeterai oleh syarikat pada tahun 1996 bersama LTAWNT,” ujarnya.-UTUSAN










