KENDERAAN elektrik sepenuhnya bukan lagi sesuatu yang ganjil untuk pasaran tempatan. Malah, sepanjang tahun 2023, beberapa jenama memperkenalkan jenama mereka dan menawarkan pelbagai keupayaan bantuan pemanduan elektronik serta menjuruskan pendedahan kenderaan EV ini sebagai berteknologi dan mewah.
Sehingga ke artikel ini ditulis, belum ada lagi mana-mana jenama atau model kenderaan EV yang diletakkan harga pasaran bawah RM100,000 secara rasmi.
Begitupun, rata-rata model yang ditonjolkan lebih berimejkan sebuah SUV dan beberapa jenama lain lebih gemar menampilkan model hatchback atau mini.
Untuk kolum pandu uji kali ini, saya sekali lagi diundang untuk memandu uji sendiri secara jarak jauh dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang dan pulang semula ke Kuala Lumpur keesokkan harinya. Malah, terdapat satu sesi pemanduan di atas litar lumba tertutup yang terletak di tepi Lebuhraya Elite.
Sebelum itu, kita kupas dulu rupa bentuk fizikal SMART #1 ini dahulu.
REKABENTUK FIZIKAL
Pada pandangan peribadi saya, SMART #1 ini menyerupai fizikal Mini Cooper. Terutamanya daripada saiz fizikalnya secara am.
Walau bagaimanapun, persamaan ini terhenti hanya pada rupa luarannya. Oleh kerana saya diberi peluang untuk memandu SMART #1 versi Premium untuk perjalanan ke Pulau Pinang, dan versi Brabus untuk perjalanan pulang ke Kuala Lumpur, maka saya harus membahagikan reviu saya ini mengikut varian yang saya pandu uji.
SMART#1 PREMIUM
Entah kenapa, saya begitu meminati rekaan roda sukan (sport rims) versi Premium ini.
Rekaannya yang seolah-olah menutupi sebahagian penuh roda ini tanpa sebarang jejari memberikan imej kukuh dan teguh pada mata saya.
Model pandu uji yang saya perolehi memperagakan skim warna Hijau yang menjurus kepada campuran warna kelabu cair. Skim warna yang juga pada hemat saya adalah satu pilihan yang unik dan tidak terdapat pada kereta jenama lain.
Melangkah masuk ke dalam kabin, saya merasakan seperti dalam sebuah ‘kapal angkasa’ dalam filem Star Trek atau Star Wars.
Papan pemukanya dihiasi dengan panel berwarna putih serta ‘benteng’ bahagian tengah antara pemandu dan penumpang hadapan terbahagi kepada dua warna: putih dari papan pemuka hadapan dan skim warna hitam bermula dari bahagian tengah benteng pemisah tersebut.
Bumbung kabin dibungkus dengan fabrik berwarna hitam dan saya amat menyukai konsep ‘bercanggahan’ antara dua warna utama ini.
Selain sifat mengurangkan kotoran-kotoran daripada jejari yang bakal muncul setelah beberapa minggu memiliki atau memandu kereta EV ini, ianya seolah-olah memberikan perasaan dalam panggung wayang yang gelap dan hanya instrumen-instrumen yang ada dalam kereta memberikan pencahayaan.
Kerusi yang menyambut sandaran dengan begitu mengikuti kontur badan saya serta di alas dengan kusyen yang empuk.
Kerusi semi-bucket ini ternyata memberikan perasaan kereta sport dan juga seperti kebanyakan kenderaan EV, kerusi ini boleh dilaras kedudukannya secara elektronik.
Memegang stereng versi Premium ini walau bagaimanapun, sedikit mengecewakan saya apabila pilihan kulit yang menyalutinya tidak memberikan cengkaman ‘getah’ ketika menggenggamnya tanpa risau akan tergelincir atau terlepas.
Namun begitu, penyelarasan stereng adalah sangat lengkap dengan kebolehan larasnya lebih tinggi atau lebih rendah, serta kedudukan lebih terkeluar atau lebih rapat pada ‘dashboard’.
Setelah membiasakan diri dengan suis-suis butang yang ada, ianya agak mudah difahami dan tidak terlalu jauh berbeza dengan sistem operasi elektronik kenderaan-kenderaan EV yang lain.
Begitu pun, terdapat TIGA perkara yang harus saya tekankan mengenai SMART #1 ini; Pertamanya, SMART #1 ini tidak menggunakan tombol gear di tengah, maka dengan itu ianya tidak mengekalkan tradisi pemanduan seperti kereta konvensional.
Keduanya, SMART #1 menggunakan speaker daripada jenama BEATS, jenama yang begitu terkenal dengan produk-produk headphones. 13 speaker yang menjanjikan anda bakal menikmati bunyi bass yang hebat tetapi tidak terlalu menggegarkan telinga.
Ketiganya, SMART #1 ini terpaksa anda laras cermin sisinya melalui skrin sesentuh yang dan bukannya boleh dilaras secara mekanikal dengan tombol yang selalunya terletak pada panel suis di pintu pemandu.
SMART #1 BRABUS
Sementara itu, ketika memandu versi Brabus pula, suasana dalam kabin ternyata lebih gelap kerana penggunaan warna hitam pada hampir ke seluruh bahagian dalaman kereta, dengan sedikit penggunaan warna merah terutama pada penyandar kepala pada dua kerusi hadapan.
Kemasan garisan merah akan menyala apabila hari di luar menjadi gelap, lebih menyerlahkan rekaan unik kabin dalaman SMART #1 BRABUS ini.
Stereng versi BRABUS ini dibaluti dengan 2 jenis kulit yang memberikan sedikit perbezaan dengan stereng versi PREMIUM.
PEMANDUAN
Versi Premium membenarkan anda memilih mod pemanduan samada Sport, Comfort atau Economy, jelas menunjukkan tahap penghantaran kuasa dan penjimatan tenaga.
SMART #1 PREMIUM menggunakan pacuan roda belakang dan walau mempunyai dua pedal iaitu pedal pendikit dan juga pedal brek, saya memilih untuk memandu menggunakan fungsi Regenerative Braking dan E-Pedal.
Penggunaan kedua-dua sistem bantuan pemanduan ini, saya lebih dapat menumpukan pemanduan daripada segi membrek yang efisien samada atas lebuh raya atau pun jalan-jalan berliku-liku di kawasan Balik Pulau atau Teluk Bahang.
Hanya perlu melepaskan pedal pendikit dan membolehkan SMART #1 ini membrek secara otomatik dan membolehkan ianya mengambil selekoh di hadapan dengan kelajuan yang lebih mudah dikawal.
Ada ketikanya saya terpaksa menekan juga pedal brek walaupun sudah set fungsi-fungsi tersebut, kerana masih terikut-ikut teknik pemanduan yang telah berpuluh-puluh tahun saya amalkan.
SMART #1 BRABUS
Tidak perlu saya bercerita panjang lebar di sini tentang teknologi tambahan dari MERCEDES untuk varian BRABUS ini.
Mod kuasa yang boleh dipilih antara Economy, Comfort, Sports dan Brabus, namun, kuasa pecutan dalam Mod BRABUS ternyata seolah-olah dua kali ganda daripada versi Premium.
Paling mengujakan ialah anda boleh menggunakan audio bunyi enjin ketika dalam pemanduan dan terdapat dua versi audio bunyi enjin yang boleh anda pilih.
Saya agak geli hati dengan wujudnya fungsi ini malah menyatakan fungsi audio enjin agak terlalu kebudak-budakkan. Macam syok sendiri!
KESIMPULAN.
Terlalu banyak untuk diceritakan tentang kelainan SMART #1 ini tetapi kita tidak mempunyai ruang yang banyak dalam ruangan ini.
Kesimpulannya, harga untuk model Premium adalah sekitar RM 219,000 dan harga untuk model Brabus pula adalah RM 249,000.
Tanda harga untuk status dalam masyarakat atau bayaran untuk teknologi terkini? Andalah yang menentukannya.-UTUSAN
Spesifikasi
| Smart #1 Variants | Premium | Brabus |
| kuasa (PS) | 272 motor tunggal PACUAN RODA BELAKANG | 343 motor berkembar PACUAN KESEMUA RODA |
| Tork (Nm) | 428 | 543 |
| Bateri (kWh) | 66 | 66 |
| Jarak panduan (km) | 440 | 400 |
| 0 – 100 km/ j (seconds) | 6.7 | 3.9 |
| Jenis pengecas | 22 kW AC,
150 kW CCS2 DC |
22 kW AC,
150 kW CCS2 DC |
| roda | 19-inch wheels,
235/45 profile tires |
19-inch wheels,
235/45 profile tires |










