PETALING JAYA: Ringgit dibuka lebih tinggi hari ini didorong oleh keyakinan berterusan pelabur mengenai angka inflasi AS yang meningkatkan sentimen.
Memetik laporan Bernama, pada pukul 9.01 pagi, ringgit menambah nilai kepada 4.6360/6410 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) daripada 4.6400/6440, penutup semalam.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, purata harga petrol AS berada pada AS$3.69 (RM17.15) segelen pada Disember 2023.
Katanya, bandingkan purata untuk Disember 2022, iaitu kira-kira AS$3.92 segelen, ia akan memberi penurunan 6 peratus tahun ke tahun.
Sehubungan itu, kata beliau, terdapat kemungkinan Indeks Harga Pengguna (IHP) utama AS boleh lebih rendah daripada jangkaan.
Tambah Mohd. Afzanizam, ulasan terbaharu Presiden Rizab Persekutuan (Fed), John Williams mengenai AS mungkin boleh menurunkan inflasi, turut membantu sentimen di peringkat global.
Untuk itu, Indeks Dolar AS (DXY) turun kepada 102.362 mata daripada 102.57 mata sebelumnya.
“Oleh itu, ringgit berkemungkinan mengekalkan dagangan julat sempitnya antara RM4.63 dan RM4.65 hari ini.
“Daripada carta teknikal, pasangan mata wang dolar AS dan ringgit kini berada dalam zon neutral, menunjukkan bahawa unit tempatan boleh didagangkan secara `mengiring’ dalam tempoh terdekat,” katanya.
Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding kebanyakan sekumpulan mata wang utama.
Ia lemah berbanding yen Jepun kepada 3.2018/2047 daripada 3.1869/1906 sebelumnya.
Bagaimanapun, ia lebih lemah berbanding euro kepada 5.0894/0949 daripada 5.0789/0833 semalam, dan susut berbanding pound sterling kepada 5.9123/9187 daripada 5.9044/9095.
Ringgit dalam pada itu, diniagakan lebih tinggi berbanding kebanyakan mata wang ASEAN.
Ia menambah nilai berbanding dolar Singapura kepada 3.4836/4876 daripada 3.4851/4883, naik berbanding baht Thai kepada 13.2272/2483 daripada 13.2598/2777 dan lebih tinggi berbanding rupiah Indonesia pada 297.7/298.2 daripada 297.9/298.4.
Mata wang tempatan itu tidak berubah berbanding peso Filipina pada 8.24/8.27 daripada 8.24/8.25. – UTUSAN










