Permotoran: Volvo XC40 2024 penenang jiwa

Permotoran: Volvo XC40 2024 penenang jiwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA pasaran automotif tempatan ‘diserang’ kenderaan-kenderaan elektrik sepenuhnya, Volvo seakan faham tentang golongan-golongan yang masih belum ‘bersedia’ untuk bertukar cara hidup daripada kebergantungan terhadap kenderaan konvensional. Sama ada alasan stesen pengecasan masih belum memenuhi rangkuman jarak yang ‘selamat’, atau masih kurang fasih tentang kos penggunaan elekrik atau bahan bakar sebagai sumber kuasa kenderaan anda.
Volvo memperkenalkan XC40 B5 2024 pada penghujung tahun lepas untuk individu-individu yang menginginkan teknologi bantuan pemanduan elektronik, rekaan dalaman, dan keberadaan kenderaan dari Sweden ini, tetapi belum cukup bersedia untuk menggunakan kenderaan elektrik (EV) sepenuhnya untuk ke­perluan pengangkutan harian.
Mengambil inisiatif untuk menyampaikan informasi yang lebih mendalam terhadap model 2024 ini, berikut adalah hasil pandu uji saya.

REKA BENTUK
Pasaran Eropah mengklasifikasikannya sebagai SUV pengenalan bagi mereka yang baru sahaja ingin menjadi ‘ahli keluarga SUV Volvo’. Namun begitu, untuk pasaran tempatan, ia se­perti sama hebat dengan SUV-SUV yang berlambakan di atas jalan raya. Sama dari segi teknologi-teknologi yang didatangkan atau pun harga pasaran yang diwar-warkan untuk pasaran tempatan.

Dari segi luaran, ia seolah tidak menampakkan sebuah model yang baharu atau pun yang te­lah dinaik taraf atau “facelift”. Hanya sekiranya anda seorang pencinta Volvo atau seorang penggemar teknologi automotif, anda akan perasan tentang huruf B5 yang tertera di belakang XC40 ini, sekaligus mengesahkan tentang ini adalah sebuah kende­raan baharu.

Skim warna kelabu terang (Vapour Grey), menggantikan skim warna “Thunder Grey” yang diperkenalkan pada model tahun lepas serta pemilihan menggunakan fabrik mikrotek untuk fabrik tempat duduk dalam kabin, turut membezakan reka dalaman kenderaan Volvo ber­banding je­nama lain. Meneruskan pilihan Volvo untuk tidak menggunakan kulit semata-mata seperti kebanyakan model lain di pasaran, turut menegaskan bahawa Volvo lebih ‘mesra alam’ sama ada hiasan abstraknya yang bercirikan bentuk muka bumi ataupun tidak menggunakan kulit haiwan sebagai pemba­lut kerusinya!

Ketika anda berada dalam kabin XC40 2024 ini, skrin infotainmen masih menawarkan Android Automotive OS yang sudah tentunya kebolehan penggunaan aplikasi daripada Google. Aplikasi ini dapat ditonton pada skrin digital 12 inci lengkap dengan skrin sesentuh, serta halwa telinga anda bakal dipuaskan dengan kesempurnaan sistem audio dari Harman Kardon lengkap dengan ‘subwoofer’. Ke­perincian teknologi masa kini dalam kabin XC40 ini diteruskan dengan sistem pengecasan telefon bimbit tanpa wayar serta pencucuh (plug) type C dan jenis 120 watt.

Penggunaan roda untuk model 2024 dilihat masih menggunakan saiz yang sama seperti model tahun lepas iaitu 19 inci, dan sebagai tambahan bonus, model 2024 ini juga dilengkapi dengan bumbung ‘sunroof’ panoramik yang tidak terdapat pada model 2023.

Kokpit yang mewah.

PEMANDUAN
Agak sukar untuk saya perincikan kebolehan daripada segi sistem bantuan pemanduan elektronik yang tersedia untuk model 2024 ini. Ini kerana, terlalu banyak sokongan dan sistem keselamatan pemanduan yang sama seperti model-model SUV Volvo yang lain.

Sistem bantuan keselamatan elektronik ini juga disediakan serta sensor-sensor yang berupaya untuk membantu pemanduan dalam lorong yang sepatutnya, amaran tersasar dari laluan, pemberhentian kecemasan automatik, serta banyak lagi bantuan pemanduan yang terdapat pada kebanyakan kenderaan Volvo turut terdapat dalam XC40 2024. Kamera 360° yang disediakan, walaupun menjalankan tugasnya dengan baik, namun ia seperti boleh diperbaiki dan lebih terperinci visualnya.

Keupayaan sistem keselamatan dan pemanduan elektronik yang tersedia pada model 2024 ini sebenarnya sama dengan sistem model C40 (elektrik sepenuhnya), dan ini mengesahkan bahawa Volvo tetap serius untuk memberikan keselamatan yang optimum sama ada pemilihan anda ke arah kenderaan elektrik sepenuhnya atau jenis hibrid.

Sesuatu yang anda perlu tahu tentang enjin B5 ini, enjin yang menggunakan petrol sebagai bahan api utamanya juga berkapasiti 2.0 liter lengkap dengan turbo yang menghasilkan 249 hp pada kadar rpm 5,700 dan tork sekuat 350 Nm pada kadar rpm 4,800. Sementara itu komponen pacuan elektrik daripada jentera sokongan XC40 ini menambah lagi kuasa pada tahap 11 hp dan 40 Nm. Keempat-empat roda yang digerakkan secara serentak dengan transmisi otomatik membolehkan kuasa penghantaran sekata dan lebih cepat.

Konsol tengah dan sistem infoteinmen

KESIMPULAN
Umum mengetahui, SUV bukanlah sebuah kenderaan yang direka untuk kelajuan, namun begitu, keperluan memecut atau penghantaran kuasa tujahan ketika diperlukan menjadikan ianya sebagai satu kayu pengukur untuk prestasi sesebuah model kende­raan. Kedudukan SUV yang lebih tinggi memberikan satu ‘sifat’ unggul atas jalan raya dan penambahan reka bentuk dalaman yang eksklusif menjadikan sebab mengapa kenderaan seperti ini menjadi pilihan ramai.

Volvo, tetap menghasilkan kenderaan yang menitikkan keselamatan sebagai faktor utama ketika membuat pemilihan, dan XC40 B5 2024 dipasarkan pada harga RM288,888 tanpa kos insurans dan pendaftaran menjadikannya sebuah SUV yang berpadanan antara harga dan sistem bantuan pemanduan.

Namun, penggunaan enjin hibrid ringan ini bagi saya adalah lebih praktikal untuk golongan yang masih belum berupaya membuang rasa ‘range-anxiety’ ketika memandu kenderaan elektrik sepenuhnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN