Pencapaian prestasi industri binaan di Malaysia berada pada tahap yang membanggakan berdasarkan kadar pembangunan masa kini. Ketika negara terus menyaksikan pertumbuhan yang luar biasa dalam infrastruktur dengan kemunculan pelbagai projek mega, peranan juruukur bahan (quantity surveyor) dilihat semakin siknifikan sebagai satu kerjaya profesional. Jurukur bahan bertindak sebagai tulang belakang yang bertanggungjawab untuk memastikan kelancaran projek pembinaan dari segi pengawalan kos serta jaminan kualiti bagi melahirkan dan mengekalkan pembangunan mampan.
Profesion Ukur Bahan dan Akta Juruukur Bahan 1967.
Juruukur Bahan merupakan satu kerjaya profesional yang bertanggungjawab untuk menguruskan kos dan kontrak dalam pembinaan dan binaan di bawah pantauan agensi dalam mengawal selia profesion ukur bahan dan kejuruteraan kos iaitu Lembaga Juruukur Bahan Malaysia (LJBM).
LJBM merupakan satu daripada agensi badan berkanun di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) yang ditubuhkan di bawah Akta Parlimen iaitu Akta Juruukur Bahan 1967. Objektif utama undang-undang ini ditubuhkan untuk mengawal selia amalan juruukur bahan di Malaysia, memastikan tingkah laku etika, kecekapan, dan profesionalisme dalam profesion.
Secara ringkasnya, LJBM diberi kuasa untuk mengeluarkan lesen kepada jurukur bahan yang berkelayakan dan berdaftar dgn LJBM, menetapkan dan menguatkuasakan piawaian profesional, menjalankan prosiding disiplin dan menggalakkan pembangunan profesional yang berterusan.
Dalam sesebuah projek pastinya terdapat pelbagai pihak yang terlibat seperti klien, kumpulan perunding dan kumpulan pembina. Setiap pihak mempunya peranan dan perlu bertanggungjawab menjalankan peranan masing-masing.
Antaranya, juruukur bahan yang berperanan bukan sahaja di peringkat perancangan projek malah di peringkat perlaksanaan sehingga kepada penyiapan projek. Kini, keperluan profesion jurukur bahan lebih meluas hingga ke peringkat pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan. Walaupun masih ramai lagi di luar sana yang jarang dengar tugas seorang jurukur bahan, namun, tugas seorang jurukur bahan dilihat sangat siknifikan kerana bijak mentadbir kewangan projek dengan teliti, mengawal kos projek dan mentadbir kontrak projek.
Akta QS 1976 dan Lembaga juruukur bahan bersama-sama bertindak sebagai penjaga dan pemautauan kepada profesion juruukur bahan di Malaysia bagi memastikan bahawa juruukur bahan perlu memastikan tugas menepati piawaian integriti, kecekapan, dan beretika.
Bukan itu sahaja, malah rangka kerja pengawalseliaan ini memberi keyakinan kepada pihak berkepentingan, termasuk pelanggan, kontraktor, dan pelabur, bahawa juruukur bahan di Malaysia berkelayakan dan mematuhi piawaian profesional yang ketat. Justeru, ia dapat memupuk perkembangan profesion ukur bahan dan kejuruteraankos yang bertaraf antarabangsa melalui kawalseliaan dan pembangunan profesion yang berterusan.
Anggaran Kos dan Pengukuran Kuantiti
Salah satu tugas utama juruukur bahan ialah menyediakan anggaran kos projek. Dalam tugasan ini, juurukur bahan akan mengambil kira dengan teliti kos yang terlibat seperti kos bahan, kos buruh, kos peralatan dan beberapa faktor lain untuk menghasilkan kos anggaran sesebuah projek.
Kos anggaran projek amat diperlukan bertindak sebagai asas untuk memastikan projek yang dijalankan tidak melebihi bajet dan kawalan kos dapat dilakukan untuk mengekalkan ketelusan.
Pentadbiran Kontrak dan Perolehan
Tugas kedua terpenting seorang juruukur bahan ialah jurukur bahan mempunyai kepakaran dalam pentadbiran kontrak dan perolehan untuk sesebuah projek. Jurukur bahan juga menguruskan kontrak dengan memastikan semua pihak yang terlibat seperti klien dan pihak pembina ( kontraktor) serta perunding mematuhi terma, syarat dan prosedur yang telah dipersetujui.
Ini penting bagi mengelakkan berlakunya pertikaian (dispute) dan yang akan mengganggu kelancaran projek dan boleh menjadi punca kelewatan projek dan seterusnya akan menyebabkan berlaku kenaikan kos. Jurukur bahan juga diperlukan di mahkamah sebagai ‘expert witness’ bagi membantu pihak mahkamah untuk membuat penilaian dan keputusan yang adil dan saksama.
Jaminan Kualiti
Juruukur bahan juga akan memastikan kualiti bahan terjamin mengikut spesifikasi yang telah dipersetujui. Bukan itu sahaja, juruukur bahan juga menilai mutu kerja untuk memastikan pematuhan dengan piawaian dan peraturan industri.
Dengan menjalankan pemeriksaan secara kritikal dan audit secara berkala, juruukur bahan melindungi kualiti projek pembinaan. Ini secara tidak langsung dapat memberi manfaat kepada pengguna akhir projek dan mengekalkan reputasi positif industri pembinaan.
Teknologi dan Inovasi
Dunia pembinaan ke arah Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4.0IR) negara seperti yang sering diperkatakan kebelakangan. Revolusi ini menandakan munculnya sistem fizikal siber yang bakal mengubah proses pembinaan di masa hadapan. Penekanan terhadap penggunaan teknologi beserta keperluan peningkatan kemahiran dan pengetahuan menjadi asas yang penting bagi menghadapi perubahan ini.
Oleh yang demikian, juruukur bahan perlu menguasi ilmu teknologi dan inovasi untuk meningkatkan profesion mereka. Pelbagai jenis perisian dan alat canggih di pasaran untuk membantu dalam anggaran kos yang tepat, pengurusan projek, dan analisis data, menyumbang kepada peningkatan kecekapan dan ketepatan.
Dalam pada itu, juruukur bahan juga memain peranan penting dalam kelestarian, sesebuah projek. Juruukur bahan Di Malaysia berada di barisan hadapan dalam mempromosikan amalan mesra alam. Mereka menilai kesan alam sekitar projek pembinaan dan mengesyorkan penyelesaian yang mampan serta menyelaraskan industri dengan piawaian bangunan hijau global.
Permintaan yang semakin meningkat untuk Juruukur Bahan
Industri pembinaan di Malaysia semakin pesat membangun. Antara projek pembangunan yang siknifikan ialah Tun Razak Exchange (TRX) dan Menara Merdeka 118 yang mana ia adalah sebagai mercu tanda kegemilngan sektorpembinaan negara. Selaras dengan ini, permintaan untuk projek infrastruktur dan harta tanah terus meningkat malah keperluan untuk juruukur bahan mahir semakin meningkat. Ini telah membawa kepada peningkatan bilangan institusi pendidikan yang menawarkan kursus dan pensijilan dalam kursus jurukurbahan bagi memastikan bekalan profesional yang berkelayakan dapat disediakan.
LJBM merupakan badan yang bertanggungjawab dan berperanan untuk memantau dan membuat penilaian kursus-kursus pengajian yang ditawarkan oleh institut pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS) untukmemperoleh akrdetasinya. Memperolehi akreditasi dari LJBM penting kerana untuk menjaga kualiti bakal juruukur bahan yang terhasil dari setiap IPTA/IPTS adalah berpengetahuan, bertektrampilan dan menepati standard minimum yang telah ditetapkan.
Kesimpulan
Apa yang jelas, juruukur bahan di Malaysia bukan sahaja penjaga pintu kewangan; namun mereka adalah pakar dalam urusan yang melibatkan kos, kualiti, dan kemampanan dalam sektor pembinaan. Jurukur bahan terkenal dengan ketilitian dan perinician dalam menjalan kan tugas, dediaksi dan berintergriti.
Untuk sesebuah projek pembinaan, apa yang penting ialah projek dapat di bina dengan rekabentuk dan kualiti yang ditetapkan malah mengikut bajet dan masa yang di persetujui.
Dengan komitmen yang tidak berbelah bahagi terhadap kecemerlangan, juruukur bahan di Malaysia bersedia untuk memainkan peranan yang lebih penting dalam pembangunan masa depan negara, sambil menegakkan standard etika dan profesional yang ditetapkan oleh Akta QS 1976 dan pemauntan dari LBJM.
Sebagai wadah bagi menghargai jasa para profesion teknikal atas sumbangan besar mereka terhadap kemajuan infrastruktur dan pemodenan negara yang meliputi pelbagai bidang teknikal antaranya kejuruteraan, astronomi, teknologi, pembinaan, senibina, ukur dan sebagainya Sambutan Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) di adakan pada 4-5 Disember 2023.
Penulis adalah Pensyarah Kanan di Jabatan Ukur Bahan, Kulliyyah Senibina dan Rekabentuk Alam Sekitar, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Sr Roziha Che Haron.










