PETALING JAYA: KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare) menerusi kerjasama strategik dengan Gentari Sdn. Bhd. (Gentari), penyedia penyelesaian tenaga bersih terkemuka, baru-baru ini melancarkan stesen pengecas kenderaan elektrik (EV).
Pelancaran stesen pengecas tersebut bukan sahaja membuktikan komitmen KPJ Healthcare terhadap amalan mesra alam, tetapi juga sejajar dengan aspirasi Malaysia untuk membentuk masa depan yang lebih hijau, sekaligus mengukuhkan kedudukan Kumpulan sebagai peneraju yang bertanggungjawab dalam penjagaan alam sekitar demi kesejahteraan dunia.
Untuk permulaan, pemasangan kemudahan pengecas EV KPJ Healthcare bermula dengan pemasangan empat ruang pengecasan di Menara KPJ, yang menampilkan dua jenis pengecas iaitu Pengecas Arus Ganti (AC) dan Pengecas Arus Terus (DC).
“Pelancaran merupakan langkah pertama dalam pelan fasa pertama yang turut melibatkan pemasangan 32 ruang pengecasan di sembilan rangkaian hospital pakar KPJ di seluruh Malaysia termasuk KPJ Pulau Pinang, KPJ Tawakkal, KPJ Ampang Puteri, KPJ Selangor, KPJ Kajang, KPJ Klang, KPJ Seremban, KPJ Johor dan KPJ Bandar Dato’ Onn.
“Sebaik sahaja kelulusan kawal selia diperolehi, pengecas tersebut boleh diguna pakai oleh orang ramai melalui aplikasi mudah alih Setel,” kata KPJ Healthcare dalam kenyataan.
Ketua Pegawai Operasi (Operasi Bersekutu dan Peruncitan Kumpulan) KPJ Healthcare, Dr. Nik Fawaz Nik Abdul Aziz berkata, pelancaran kemudahan stesen pengecas EV kami adalah satu langkah strategik ke arah membina ekosistem penjagaan kesihatan lestari.
Beliau berkata, kerjasama yang terjalin dengan pihak Gentari memainkan peranan penting dalam perjalanan Kumpulan untuk mencorak masa depan yang mampan.
“Dengan mengintegrasikan mobiliti hijau dan penyelesaian tenaga boleh diperbaharui di seluruh rangkaian hospital kami, kami mampu mencapai lebih daripada sekadar mengikut standard piawaian yang telah ditetapkan dalam sektor industri kesihatan khususnya.
“Kami juga komited dalam usaha mengurangkan jejak karbon dan meningkatkan pengalaman pesakit. Inisiatif ini turut melambangkan komitmen kami untuk menerajui inovasi perkhidmatan penjagaan kesihatan yang lestari.
“Menjelang 2025, matlamat kami untuk memasang lebih banyak stesen pengecas yang bukan sahaja akan meningkatkan infrastruktur EV Malaysia, tetapi juga secara aktif menyumbang kepada matlamat negara mencapai status negara sifar
pelepasan gas rumah hijau pada 2050,” katanya.
Menurutnya, setelah selesai Fasa 1, Gentari akan membuat penilaian tapak untuk Fasa 2 yang melibatkan pemasangan di rangkaian hospital pakar KPJ yang lain menjelang akhir tahun.
“Kerjasama strategik yang terjalin di antara KPJ Healthcare dan Gentari telah membentuk semula landskap penjagaan kesihatan lestari, sekaligus memacu inovasi yang menjanjikan persekitaran yang lebih sihat dan lestari untuk komuniti kita,” katanya.-UTUSAN










