PETALING JAYA: Pakar ekonomi menjangkakan ringgit didagangkan rendah sekitar 4.63 hingga 4.64 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) disebabkan data terkini negara itu menunjukkan jumlah pekerjaan baharu lebih tinggi dari jangkaan dan tuntutan penganggur turut jatuh.
Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latif berkata, ia menunjukkan ekonomi AS semakin pulih dan tidak ada keperluan untuk menurunkan kadar faedah di sana, yang menyebabkan dolar AS mengukuh dan ringgit terkesan.
“Bursa pula masih menunjukkan peningkatan prestasi selaras dengan jangkaan ekonomi pada 2024 akan kekal positif dan mengembang,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat USIM, Dr. Mohd. Faisol Ibrahim pula berpendapat, kemerosotan ringgit yang terus menunjukkan trend penurunan pada awal tahun 2024 disebabkan oleh faktor dalaman dan luaran.
“Saya menjangkakan ringgit akan berada pada kadar 4.68. Antara faktornya adalah nilai eksport negara yang menunjukkan trend kemerosotan antara penyumbang kepada kemerosotan ringgit. Selain itu,sentimen keyakinan pelabur kepada ekonomi negara juga turut mempengaruhi kemerosotan nilai ringgit.
“Ini juga dapat dilihat nilai dagangan saham-saham yang juga mengalami penurunan,” katanya.
Jelas beliau, keadaan ekonomi global yang masih tidak menentu dan siri peperangan yang berlaku juga turut mempengaruhi nilai ringgit.
“Selain itu perubahan dasar oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS juga mempengaruhi kemerosotan ringgit,” katanya.
Ringgit ditutup rendah berbanding dolar pada 4.6505/4.6455 berbanding semalam pada 4.6375/6415 semalam. Pada pukul 9 pagi, ringgit berada pada 4.6420/6480 berbanding dolar AS. – UTUSAN










