PETALING JAYA: MGB Bhd. penyedia penyelesaian perkhidmatan dan pembangunan hartanah yang juga anak syarikat LBS Bina Group Bhd., mengumumkan pelantikan semula Tan Sri Ir. Dr. Lim Hock San sebagai Pengerusi Eksekutif Kumpulan berkuat kuasa mulai 15 Januari 2024.
Pelantikan semula beliau oleh lembaga pengarah dibuat selaras dengan persaraan Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif, Datuk Abdul Majit Ahmad Khan, yang tamat tempoh perkhidmatan 15 Januari lalu.
Sebagai Pengerusi Eksekutif Kumpulan, Hock San akan mempengerusikan lembaga pengarah, manakala, Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Wira Joey Lim Hock Guan dan Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Richard Lim Lit Chek akan terus menerajui MGB dengan portfolio masing-masing, menurut syarikat itu dalam kenyataan.
Selain itu, Hock San turut menyandang jawatan sebagai Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS.
Mengulas mengenai pelantikan semula beliau, Hock San berkata, ia merupakan satu penghormatan untuk menerajui MGB sebagai Pengerusi Eksekutif Kumpulan.
Beliau berkata, pasukan pengurusan telah berjaya memacu MGB lebih maju ke hadapan setelah melalui beberapa tahun yang mencabar dan menjejaskan industri pembinaan.
“Dengan prestasi suku tahunan yang kukuh dari suku pertama sehingga ke tahun kewangan 2023, dan pemeteraian usaha sama antarabangsa pertama kami bersama Sany Alameriah Industrial di Kerajaan Arab Saudi, MGB telah beroleh beberapa pencapaian penting dalam pertumbuhan syarikat.
“Pada permulaan tahun ini, kami mengambil langkah untuk terus berhati-hati dan bersikap optimistik terhadap faktor ekonomi yang mempengaruhi dunia dan negara, sekali gus terus mengintai peluang dan meningkatkan mutu perkhidmatan kami melalui pengalaman, inovasi, pendigitalan dan kemajuan teknologi, seperti produk Konkrit Pratuang Sistem Binaan Berindustri (IBS),” katanya.
Hock San menambah, strategi itu digubal bagi memastikan MGB kekal berdaya saing dan diterima di mana-mana ruang perniagaan. – UTUSAN










