Kerajaan lulus 22 projek Tenaga Boleh Baharu

Kerajaan lulus 22 projek Tenaga Boleh Baharu

TENAGA Nasional Berhad. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam melalui Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia meluluskan 22 projek Tenaga Boleh Baharu (TBB) di bawah mekanisme tarif galakan (FiT) bagi menyokong aspirasi peralihan tenaga negara.

TBB daripada sumber biogas dan biojisim berjumlah 36.534 megawatt (MW) yang dihasilkan daripada projek itu akan membekalkan tenaga elektrik hijau kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) seawal 2027.

Menurut Kementerian itu, kelulusan pelaksanaan projek TBB baharu di bawah mekanisme tarif galakan itu akan mempelbagaikan sumber penjanaan TBB selain sumber solar dan seterusnya meningkatkan lagi daya harap pembekalan elektrik negara.

“Pada masa yang sama, pembangunan projek-projek TBB yang diluluskan ini turut dijangka akan berupaya mewujudkan nilai pelaburan baharu dalam industri TBB sehingga RM372 juta,” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, dalam menyokong aspirasi peralihan tenaga negara untuk mencapai 70 peratus campuran kapasiti TBB dalam pembekalan elektrik menjelang 2050, kerajaan telah mengumumkan penawaran dan pembukaan permohonan kelulusan tarif galakan secara e-bida (e-bidding) bagi tiga sumber TBB iaitu biogas, biojisim dan hidrokuasa kecil mulai 5 hingga 26 Julai 2023.

Hasilnya, sebanyak 34 permohonan telah diterima.

Jelasnya, penilaian teknikal dan kewangan telah dilakukan oelh SEDA Malaysia terhadap semua permohonan dan sebanyak 22 permohonan yang telah memenuhi kriterial teknikal dan kewangan telah diluluskan.

“(Ia) merangkumi 21 projek dengan jumlah kuota 29.534MW untuk penjanaan tenaga elektrik hijau daripada sumber biogas dan 1 projek dengan jumlah kuota 7.0MW untuk penjanaan tenaga elektrik daripada sumber biojisim,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai keputusan e-bidding tahun 2023 di bawah mekanisme tarif galakan yang dikendalikan SEDA Malaysia ini boleh diperolehi melalui laman sesawang SEDA Malaysia di pautan www.seda.gov.my. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×