Jumlah dagangan pada Disember turun 4.3 peratus

Jumlah dagangan pada Disember turun 4.3 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jumlah daga­ngan Malaysia pada Disember 2023 menurun 4.3 peratus kepada RM225.1 bilion, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ia merupakan kemerosotan untuk bulan ke-10 berturut-turut sejak Mac 2023, didorong oleh permintaan global yang lemah dan harga komoditi yang rendah.

Menurut DOSM, penyusutan itu turut didorong oleh eksport yang lebih rendah, jatuh 10.0 peratus kepada RM118.5 bilion, tahun ke tahun. Sebaliknya, import menunjukkan peningkatan 2.9 peratus kepada RM106.7 bilion.

“Sementara itu, imbangan dagangan kekal dalam lebihan dengan nilai RM11.8 bilion, menyusut 57.8 peratus pada Di­sember 2023. Bagi prestasi keseluruhan 2023, jumlah dagangan merosot 7.3 peratus seiring de­ngan prestasi eksport (-8.0 peratus) dan import (-6.4 peratus),” katanya dalam laporan Buletin Perangkaan Perdagangan Luar Malaysia Disember 2023.

Sementara itu, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, prestasi eksport Malaysia mencatatkan penguncupan pada Disember 2023 selaras dengan penurunan yang ditunjukkan oleh kedua-dua eksport semula dan eksport domestik.

Eksport semula berjumlah RM21.2 bilion, susut 20.3 peratus berbanding Disember 2022. Eksport domestik pula bernilai RM97.3 bilion, menyumbang 82.1 peratus kepada jumlah eksport, berkurang 7.4 peratus.

Import pada Disember 2023 bernilai RM106.7 bilion, naik 2.9 peratus berbanding bulan yang sama tahun lepas. Sementara itu, lebihan dagangan menguncup 57.8 peratus kepada RM11.8 bilion, lebihan dagangan ke-44 bulan berturut-turut sejak Mei 2020.

Berbanding November 2023, prestasi eksport, import, jumlah dagangan dan imbangan dagangan merekodkan penurunan masing-masing 2.7 peratus, 2.6 peratus, 2.6 peratus dan 3.6 peratus.

Meninjau dari sudut kumpulan barangan, Mohd. Uzir berkata, 132 daripada 257 kumpulan eksport menunjukkan penurunan, manakala 132 daripada 259 kumpulan import meningkat berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

MOHD. UZIR MAHIDIN

Ketua Perangkawan menjelaskan, eksport yang lebih rendah disumbangkan oleh pe­nurunan terutamanya ke Si­ngapura (-RM5.2 bilion) di­ikuti Kesatuan Eropah (-RM3.1 bilion), India (-RM1.0 bilion), Republik Korea (-RM815.4 juta), Amerika Syarikat (-RM792.7 juta), Hong Kong (-RM731.8 juta) dan Thailand (-RM565.3 juta).

Sementara itu, import yang lebih tinggi disumbangkan terutamanya dari Amerika Syarikat (+RM1.5 bilion), diikuti oleh Singapura (+RM1.3 bilion), Republik Korea (+RM732.2 juta), Sudan (+RM592.9 juta), Arab Saudi (+RM530.2 juta) dan Rusia (+RM436.6 juta).

“Penyusutan eksport selaras dengan pengurangan oleh barangan elektrik & elektronik (-RM6.3 bilion); minyak kelapa sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak kelapa sawit (-RM2.8 bilion) dan keluaran petroleum (-RM2.6 bilion). Sementara itu, peningkatan import dicatatkan bagi petroleum mentah (+RM2.3 bilion); barangan elektrik & elektronik (+RM1.9 bilion) dan pertanian lain (+RM640.7 juta),” jelas beliau.

Mohd. Uzir turut membe­ritahu, jumlah dagangan dan eksport pada suku keempat 2023 mengalami penurunan berbanding tempoh yang sama tahun lalu dengan jumlah dagangan jatuh 3.2 peratus, sejajar dengan pengurangan eksport (-6.9 peratus), manakala import meningkat 1.3 peratus.

“Lebihan dagangan berjumlah RM36.9 bilion, berkurang 45.9 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2022. Jumlah dagangan, eksport, import dan lebihan dagangan bagi keseluruhan tahun 2023 turut mencatatkan penurunan. Jumlah dagangan turun 7.3 peratus, daripada RM2.8 trilion kepada RM2.6 trilion, sejajar dengan penurunan eksport (-8.0 peratus) dan import (-6.4 peratus). Pada masa yang sama, lebihan dagangan merosot 16.4 peratus kepada RM214.1 bilion,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×