PETALING JAYA: Jumlah dagangan Malaysia pada Disember 2023 menurun 4.3 peratus kepada RM225.1 bilion, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ia merupakan kemerosotan untuk bulan ke-10 berturut-turut sejak Mac 2023, didorong oleh permintaan global yang lemah dan harga komoditi yang rendah.
Menurut DOSM, penyusutan itu turut didorong oleh eksport yang lebih rendah, jatuh 10.0 peratus kepada RM118.5 bilion, tahun ke tahun. Sebaliknya, import menunjukkan peningkatan 2.9 peratus kepada RM106.7 bilion.
“Sementara itu, imbangan dagangan kekal dalam lebihan dengan nilai RM11.8 bilion, menyusut 57.8 peratus pada Disember 2023. Bagi prestasi keseluruhan 2023, jumlah dagangan merosot 7.3 peratus seiring dengan prestasi eksport (-8.0 peratus) dan import (-6.4 peratus).
“Prestasi perdagangan barangan yang menggalakkan pada 2022 mempengaruhi pertumbuhan tahunan pada tahun ini seperti yang dilaporkan hari ini,” katanya dalam laporan Buletin Perangkaan Perdagangan Luar Malaysia Disember 2023. – UTUSAN










