PETALING JAYA: Jaya Grocer membuka cawangan ke-50 di Seremban Prima Mall, menjadikannya pasar raya premium terkemuka pertama di ibu negeri itu dan kedua di Negeri Sembilan.
Pasar raya itu berkata, pengembangan berdasarkan pertumbuhan ekonomi lebih kukuh seperti diramalkan kebanyakan penganalisis dan firma penyelidikan.
Cawangan ke-50 itu dibuka hampir tiga minggu selepas pembukaan cawangan di Plaza Shah Alam, Selangor pada 13 Januari yang lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Jaya Grocer, Adelene Foo berkata, kedudukan cawangan ke-50 itu adalah yang paling strategik dengan jarak berjalan kaki dari Pejabat Pos Besar Seremban, Stesen Kereta Api Utama dan pejabat-pejabat Kerajaan yang sering dikunjungi serta terletak di kawasan membeli-belah.
“Kami membuat pelaburan besar menerusi sebuah kedai seluas 27,000 kaki persegi di sini sebagai tanda penghargaan untuk semua pelanggan kami di Negeri Sembilan yang banyak menyokong kami sejak pembukaan cawangan di Mesa Mall, Nilai pada 2017.
“Kami berterima kasih atas sokongan padu pelanggan kami di Negeri Sembilan dan kami mahu mengembangkan lagi rangkaian kami di negeri ini. Kami akan mempertimbangkan lokasi lain di negeri ini jika diberi peluang dan apabila termanya sesuai,” katanya dalam kenyataan.
Adelene berkata, Jaya Grocer juga berbesar hati menjadi satu-satunya jenama pasar raya premium terkemuka di Seremban, dan berhasrat untuk menawarkan pelbagai rangkaian barangan segar dan juga produk import yang belum pernah dicuba oleh penduduk tempatan.
“Ini adalah sebahagian daripada janji perkhidmatan Jaya Grocer dalam menyediakan kemudahan kepada pelanggan kami,” katanya.
Bagi menghargai para pelanggan di Seremban, Jaya Grocer menawarkan promosi Istimewa mulai 31 Januari hingga 18 Februari untuk pelbagai barangan keperluan seperti makanan laut, minyak masak, daging beku, serta barangan pembersihan.
Seperti cawangan Jaya Grocer yang lain, cawangan Seremban Prima turut menawarkan perkhidmatan membeli-belah dalam talian melalui GrabMart untuk pengalaman berbelanja yang terbaik kepada pelanggan.
Pelanggan boleh menikmati lebih banyak tawaran nilai dan diskaun setiap bulan melalui program Keahlian Jaya Grocer yang dibawakan oleh Grab. Akses kepada program keahlian tersedia secara terus melalui aplikasi mudah alih Grab, jelasnya. – UTUSAN










