PETALING JAYA: Kadar inflasi keseluruhan Malaysia kekal 1.5 peratus pada Disember 2023 dengan mata indeks mencatatkan 131.2 berbanding 129.2 pada bulan yang sama tahun sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan inflasi ini telah didorong oleh peningkatan perlahan restoran dan hotel, 3.7 peratus (November 2023: 4.3 peratus); pelbagai barangan dan perkhidmatan, 2.7 peratus (November 2023: 2.3 peratus) dan makanan dan minuman bukan alkohol, 2.3 peratus (November 2023: 2.6 peratus).
Walau bagaimanapun, beliau berkata, kumpulan utama lain yang menunjukkan peningkatan adalah kesihatan, 2.5 peratus (November 2023: 2.3 peratus) dan pengangkutan 0.3 peratus (November 2023: 0.1 peratus).
“Kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol yang menyumbang 29.5 peratus daripada keseluruhan wajaran Indeks Harga Pengguna (IHP) terus merekodkan peningkatan sederhana 2.3 peratus berbanding 2.6 peratus pada November 2023.
“Komponen makanan di rumah meningkat kepada 1.3 peratus berbanding 1.4 peratus yang direkodkan bulan sebelumnya,” katanya di sini, semalam.
Beliau berkata, kenaikan komponen makanan di rumah adalah didorong terutamanya oleh subkumpulan beras, roti dan bijirin lain, 3.0 peratus (November 2023: 3.1 peratus).
“Ini diikuti oleh subkumpulan susu, keju & telur dan gula, jem, madu, coklat & manisan masing-masing meningkat 2.6 peratus dan 2.2 peratus.
“Sementara itu, komponen makanan di luar rumah mereda kepada 3.4 peratus berbanding 3.9 peratus yang direkodkan pada November 2023,” ujarnya.
Mohd Uzir berkata, peningkatan inflasi subkumpulan beras, roti dan bijirin lain sebanyak 3.0 peratus pada Disember 2023 disumbangkan oleh kelas perbelanjaan beras yang mencatatkan peningkatan perlahan 4.6 peratus berbanding 4.7 peratus pada November 2023.
Jelasnya, subkumpulan daging yang merangkumi ayam, lembu, babi, kambing, kerbau dan itik mencatatkan kenaikan kepada 1.0 peratus pada bulan Disember 2023 (November 2023: -0.2 peratus).
Beliau berkata, berhubung dengan inflasi di peringkat negeri, kebanyakan negeri merekodkan peningkatan di bawah paras nasional 1.5 peratus.
“Inflasi keseluruhan secara tahunan pada 2023 meningkat 2.5 peratus (2022: 3.3 peratus).
“Ini didorong oleh kenaikan kumpulan restoran dan hotel, 5.6 peratus (2022: 5.0 peratus); makanan dan minuman bukan alkohol, 4.8 peratus (2022: 5.8 peratus) dan pelbagai Barangan dan perkhidmatan, 2.4 peratus (2022: 2.0 peratus).
“Sementara itu, inflasi keseluruhan secara bulanan menunjukkan kenaikan 0.2 peratus (November 2023: 0.0 peratus),” ujarnya.-UTUSAN










