KUALA LUMPUR: Hong Leong Islamic Bank (HLISB) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Andalusia Travel & Tours (Andalusia) bagi melengkapkan pakej umrah Andalusia dengan rangkaian produk perbankan Islam yang komprehensif.
Ketua Pegawai Eksekutif HLIB, Dafinah Ahmed Hilmi berkata, kerjasama itu membolehkan umat Islam yang merancang mengerjakan umrah untuk membiayai perjalanan mengikut prinsip syariah dengan tawaran kewangan HLISB, khususnya Pembiayaan Peribadi-i dan Akaun Pay & Save-i.
Katanya, Pembiayaan Peribadi-i disertakan dengan rebat untung “Bayar Tepat Masa” sebanyak 60 peratus dan pin tambah nilai e-dompet Touch n Go RM50 dengan setiap permohonan yang berjaya.
“Akaun Pay & Save-i pula menyediakan keuntungan sehingga 4.15 peratus setahun di atas baki akaun. Akaun itu mempunyai ciri mata wang pelbagai yang membolehkan perbelanjaan mata wang asing dengan kad debit HLB.
“Pelanggan boleh mengeluarkan mata wang asing daripada mesin pengeluaran wang automatik (ATM) luar negara dan penukaran terus ringgit kepada mata wang asing pada kadar yang kompetitif melalui HLB Connect, ” katanya kepada media selepas majlis menandatangani MoU, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, HLISB juga menawarkan peluang pengurusan harta yang kompetitif melalui Akaun Pelaburan Berjangka-i dan dalam pembiayaan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) yang boleh diakses sepenuhnya pada platform perbankan mudah alih HLB Connect.
Selain itu, bank itu menyediakan perkhidmatan pembayaran zakat atas talian dan pelanggan boleh melengkapkan wasiat mereka sepenuhnya atas talian melalui HLB Connect, memanfaatkan perancangan legasi sehenti dan perkhidmatan e-Wasiat yang kompetitif.
Sementara itu, Pengarah Andalusia Travel & Tours, Ida Riswana Idris berkata, misi di Andalusia adalah menyediakan perkhidmatan umrah berpatutan dan berkualiti.
“Kerjasama ini memastikan pelanggan kami dapat akses kepada pembiayaan ibadah umrah yang patuh syariah, digital dan harga berpatutan dengan rangkaian alat dan perkhidmatan kewangan yang holistik.
“Andalusia berharap setiap umat Islam dapat menunaikan kewajipan agama tanpa bersusah payah dan merasa bimbang,” katanya.-UTUSAN










