FTW Racing perkukuh di pasaran tempatan, ASEAN

FTW Racing perkukuh di pasaran tempatan, ASEAN

HAIROLSHAM Abu Bakar menunjukkan topi keledar yang dijual di kedainya di FTW Racing, Petaling Jaya, Selangor.- UTUSAN/AMIR KHALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERMULA dengan hobi dalam sukan ekstrem, mountain bike iaitu aktiviti berbasikal di yang melalui off-road, akhirnya membawa kepada penglibatan dalam perniagaan pakaian sukan ekstrem premium dan pengedar motocross.

Pengarah dan Ketua Pegawai Ekstrem FTW Ventures Sdn. Bhd., Hairolsham Abu Bakar berkata, beliau yang sebelum ini terlibat dalam perniagaan kejuruteraan marin mula membuka kedainya yang dikenali sebagai FTW Racing pada 2011 di Putra Height, Subang Jaya.

Graduan Diploma Kejuruteraan Mekanikal dari Federal Institute of Technology (F.I.T) itu kemudian mengembangkan perniagaan dengan berpindah ke Kelana Jaya pada 2012 sehingga kini ibu pejabatnya berada di Seksyen 13, Petaling Jaya.

Hairolsham yang menguruskan perniagaan tersebut bersama isteri, Zii Amiza Mohd. Amin yang merupakan Ketua Pegawai Pentadbiran syarikat, kini sudah mempunyai kira-kira 15 cawangan di dalam dan luar negara termasuk, Indonesia, Singapura dan Brunei.

Katanya, Indonesia merupakan pasaran utama ketika ini yang menyumbang sebanyak 55 peratus kepada jualan syarikat manakala selebihnya adalah pasaran tempatan dan lain-lain.

“Pasaran yang lebih besar, lebih banyak sukan off-road dan keupayaan membuka cawangan dengan dana sendiri mendorong kepada pengembangan perniagaan yang lebih pantas di Indonesia.

“Dalam masa dua tahun akan datang, kami menjangkakan lebih banyak cawangan akan dibuka di Indonesia dan kadar sumbangan jualan diunjurkan meningkat kepada 60 peratus, manakala tempatan sebanyak 35 peratus dan Singapura serta Brunei pada lima peratus,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Bapa kepada empat orang anak itu memberitahu, selain Petaling Jaya, FTW Racing mempunyai masing-masing dua cawangan di Johor dan Pulau Pinang serta satu di Pahang.

Menurutnya, di Indonesia pula, syarikat mempunyai cawangan antaranya di Jakarta, Yogyakarta, Surabaya, Malang, Medan, Tasikmalaya dan Garut, manakala masing-masing satu cawangan di Singapura dan Brunei.

Tambahnya, antara lokasi yang menjadi sasaran untuk pembukaan cawangan baharu dalam tempoh dua tahun ini adalah Ipoh, Melaka, Kota Bharu, Alor Setar, Kota Kinabalu dan Kuching untuk pasaran tempatan.

“Bagi Indonesia pula, lokasi yang menjadi sasaran adalah Bali, Palembang, Lambung, Semarang, Samarinda, Jambi dan Pekanbaru.

“Kami sudah menerima permintaan dan dalam proses perbincangan dengan beberapa pihak yang berminat untuk membuka cawangan di lokasi-lokasi tersebut,” ujarnya.

Hairolsham memberitahu, FTW Racing yang mempunyai lesen import (AP) untuk jenama motocross Sherco dari Perancis,  ingin mengukuhkan jejaknya di pasaran tempatan dan Indonesia serta akan menembusi pasaran serantau lain termasuk Thailand.

“Di Malaysia, pembukaan cawangan kami adalah melalui sistem francais  melalui Perbadanan Nasional Bhd. (Pernas). Mereka yang berminat boleh berhubung dengan kami untuk berbincang mengenai peluang perniagaan ini.

“Pakej francais antara RM260,000 hingga RM700,000 bergantung kepada saiz kedai. Apa yang penting adalah mereka mempunyai minat dalam sukan ini supaya lebih bersemangat untuk menjual dan mengetengahkan lagi sukan ini dalam kalangan masyarakat,” ujarnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN