BERA: Penganjuran MAHA Pahang 2026 di Dataran Raub dari 23 hingga 26 Julai ini dijangka mencatat nilai jualan melebihi RM1.3 juta dengan kehadiran lebih 100,000 pengunjung, sekali gus mengukuhkan kedudukan negeri ini sebagai peneraju sektor agromakanan negara.
Bertemakan “Agro Lestari, Bina Negeri”, program tersebut akan menghimpunkan lebih 100 usahawan dan lebih 30 jabatan serta agensi kerajaan berkaitan sektor agromakanan.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, MAHA Pahang 2026 mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memperkasa sektor pertanian, penternakan dan perikanan melalui penerapan teknologi serta inovasi terkini.
Menurutnya, kekuatan Pahang dengan landskap negeri yang luas, tanah yang subur dan kepelbagaian sumber semula jadi menjadi asas kukuh untuk negeri ini memainkan peranan penting dalam pengeluaran makanan negara.
“MAHA Pahang 2026 bukan sekadar pameran, tetapi menjadi medan menghubungkan pemain industri, memperluas peluang perniagaan serta membuka ruang kepada usahawan tempatan memasarkan produk mereka.
“Ia juga memberi pendedahan kepada generasi muda bahawa sektor pertanian kini merupakan industri moden yang mempunyai potensi besar untuk diceburi,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Pelepasan Konvoi MAHA Pahang 2026 membabitkan 25 kenderaan di pekarangan lobi Pejabat Daerah dan Tanah Bera di sini hari ini.
Wan Rosdy berkata, antara objektif utama penganjuran program itu adalah memperkenalkan penggunaan teknologi dan inovasi terkini dalam bidang pertanian, penternakan dan perikanan, selain mengukuhkan jaringan kerjasama antara petani, peladang, penternak, nelayan, usahawan, agensi kerajaan, syarikat swasta dan institusi penyelidikan.
Katanya, kerajaan negeri turut memberi tumpuan menarik minat golongan muda menceburi sektor agro makanan dengan menampilkan bidang itu sebagai industri berdaya saing dan mampu menjana pendapatan tinggi. – UTUSAN










