Perancis negara EU pertama larang bawah 15 tahun guna media sosial

Perancis negara EU pertama larang bawah 15 tahun guna media sosial

PENDEDAHAN berlebihan terhadap telefon pintar, media sosial dan permainan video membentuk cara remaja mentafsir dunia. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Perancis pada Selasa mencipta sejarah sebagai negara pertama dalam Kesatuan Eropah (EU) yang melarang kanak-kanak berusia bawah 15 tahun daripada menggunakan media sosial selepas rang undang-undang berkaitan diluluskan Parlimen.

Menurut laporan Anadolu Ajansi (AA) yang memetik Le Monde, rang undang-undang itu menerima sokongan majoriti di kedua-dua dewan Parlimen apabila diluluskan Senat dengan 243 undi menyokong berbanding dua menentang, manakala Dewan Rendah meluluskannya menerusi 279 undi menyokong dan 81 menentang.

Menteri Hal Ehwal Digital, Anne Le Henanff berkata, Perancis kini menerajui usaha di Eropah dalam memperkenalkan had umur minimum digital bagi melindungi kanak-kanak daripada risiko di alam maya.

“Perancis menerajui usaha di Eropah dengan menjadi negara pertama menetapkan had umur minimum digital bagi melindungi kanak-kanak dengan lebih baik ketika berada dalam talian,” katanya kepada anggota Senat sebelum pengundian.

Di bawah undang-undang baharu itu, larangan berkenaan akan dikuatkuasakan terhadap akaun media sosial baharu bermula pada awal sesi persekolahan September ini.

Pelaksanaan terhadap akaun media sosial sedia ada pula akan bermula pada awal Januari tahun depan.

Selain itu, undang-undang tersebut turut memperluaskan larangan penggunaan telefon bimbit ke sekolah menengah sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan memperkukuh perlindungan terhadap golongan remaja dalam persekitaran pendidikan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN