CEO KWSP perlu bebas politik, rasuah dan jenayah 

CEO KWSP perlu bebas politik, rasuah dan jenayah 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Calon Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) baharu tidak boleh terlibat dengan politik mahupun terkait dengan mana-mana kegiatan rasuah dan kes jenayah, kata pakar ekonomi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penganalisis Ekonomi Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, individu tersebut perlu mempunyai kelayakan profesional.

Katanya, pelantikan melibatkan ahli politik akan mewujudkan ‘conflict of interest’ apabila beliau menggunakan kedudukannya sebagai CEO untuk menjalankan aktiviti atau program KWSP di kawasannya.

“Antara ciri-ciri calon CEO KWSP adalah harus mempunyai pengalaman yang luas dalam perniagaan terutamanya pelaburan dan kewangan.

“Lebih baik, jika individu tersebut pernah bekerja sebagai ahli pengurusan dalam KWSP serta mempunyai sifat integriti dan nilai murni yang tinggi. Individu tersebut perlu neutral, tidak terlibat dalam politik langsung, gejala rasuah dan jenayah,” katanya ketika dihubungi semalam.

Ahmed Razman menjelaskan, kekosongan jawatan tersebut tidak perlu terburu-buru diisi bagi mengelakkan tersalah lantik.

“Lebih-lebih lagi kelancaran operasi KWSP bukan ditentukan oleh seorang individu kerana KWSP sudah mempunyai barisan ahli lembaga pengarah yang berwibawa, dibantu oleh pasukan pengurusan yang profesional,” ujarnya.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelantikan jawatan tersebut akan diumumkan dalam masa terdekat selepas calon melalui beberapa tapisan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau menjelaskan, pelantikan calon tersebut juga melibatkan penapisan Bank Negara Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.

Jawatan tersebut kosong setelah bekas CEO KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dilantik sebagai Menteri Kewangan II semasa rombakan Kabinet pada 12 Disember lalu.

Dalam pada itu, Ketua Ekonomi dan Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, bakal CEO perlu mahir dan berpengalaman dalam pelaburan supaya mampu memberi pulangan dividen yang tinggi.

“Persekitaran pelaburan semakin kompleks dengan suasana geo politik serta perubahan dasar dan landskap ekonomi yang kerap memaksa CEO KWSP untuk cakna tentang pertimbangan antara risiko dan pulangan dengan baik,” katanya.

Selain itu, CEO KWSP baharu perlu memastikan kebajikan ahli terutamanya  untuk menggalakkan untuk menambahkan simpanan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×