PETALING JAYA: Ekonomi Malaysia tumbuh 3.4 peratus pada suku tahun keempat (S4) 2023, berbanding 3.3 peratus suku tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Dalam laporan angaran awalan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat 2023, DOSM berkata, secara keseluruhan, ekonomi Malaysia berkembang sederhana 3.8 peratus pada tahun 2023 selepas mencatatkan pertumbuhan 8.7 peratus tahun sebelumnya.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, sektor perkhidmatan menjadi peneraju prestasi ekonomi pada suku berkenaan dengan semua sektor lain mencatat pertumbuhan positif.
Menurut beliau, sektor perkhidmatan meningkat sebanyak 4.7 peratus berbanding 5.0 peratus suku sebelumnya, disokong oleh subsektor perdagangan borong dan runcit; pengangkutan dan penyimpanan serta perkhidmatan perniagaan.
“Sektor perlombongan dan pengkuarian berkembang 3.7 peratus (ST3 2023: -0.1 peratus) pada suku tahun keempat 2023 dan pertumbuhan ini didorong oleh peningkatan dalam semua aktiviti terutamanya gas asli dan minyak mentah dan
kondensat,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut menambah, sektor pembinaan menyederhana kepada 2.5 peratus (ST3 2023: 7.2 peratus) dipengaruhi oleh subsektor kejuruteraan awam dan bangunan kediaman.
Sektor pertanian pula meningkat kepada 1.2 peratus (ST3 2023: 0.8 peratus) pada suku tahun keempat 2023, hasil daripada peningkatan dalam pengeluaran kelapa sawit. – UTUSAN









