Ahmad Nazim berundur sebagai Ketua Eksekutif LTAT

Ahmad Nazim berundur sebagai Ketua Eksekutif LTAT

AHMAD NAZIM ABD RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Pengarah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengumumkan pengunduran Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman daripada jawatan Ketua Eksekutif berkuat kuasa hari ini.

Menurut LTAT, Ahmad Nazim telah menjadi sebahagian daripada pertumbuhan dan kejayaan LTAT.

Katanya, di bawah kepimpinan beliau, organisasi itu telah mencapai kejayaan yang ketara, termasuk pelancaran Pelan Strategik LTAT 2023-2025 (MAMPAN25).

“Visi strategik beliau dan komitmen yang tidak berbelah bahagi telah melonjakkan LTAT ke tahap baharu ke arah menjadi sebuah kumpulan wang simpanan mampan,” katanya dalam kenyataan.

Pengerusi LTAT, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor mewakili Lembaga Pengarah, pihak pengurusan dan kakitangan LTAT, merakamkan penghargaan kepada Ahmad Nazim di atas dedikasi dan sumbangan luar biasa beliau kepada LTAT dan Kumpulan sepanjang perkhidmatannya.

Beliau turut memuji usaha Ahmad Nazim dalam memastikan LATA dan pihak berkepentingan khususnya, bukan sahaja dilindungi tetapi juga terus berkembang.

“Kami mendoakan yang terbaik untuk usaha beliau di masa hadapan. Dalam kami mula mencari Ketua Eksekutif baharu, kami kekal fokus melaksanakan keutamaan strategik dan menyampaikan nilai,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Nazim merakamkan penghargaan atas peluang menerajui LTAT dan menyifatkan perkhidmatan di Kumpulan itu istimewa.

“Adalah satu keistimewaan untuk berkhidmat sebagai Ketua Eksekutif LTAT. Saya amat berbangga dengan apa yang telah kami capai bersama sebagai satu pasukan, dan saya yakin bahawa organisasi berada pada kedudukan yang baik untuk kejayaan yang berterusan pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×