MULA meminati bidang perniagaan ketika sedang melanjutkan pengajian peringkat Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) pada 2017 dengan menjual pakaian jersi kepada rakan-rakan sekolah, kini usahawan muda AB Bites, Muhammad Zulfaqar Rosli, 24 semakin dikenali.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu bukan sahaja mampu membina empayar perniagaan sendiri, malah AB Bites telah melebarkan sayap perniagaan ke Singapura.
Jika diimbas kembali, dia bermula menjual jersi secara kecil-kecilan di asrama yang diambil di Kelantan dan Thailand dengan bermodalkan RM300.
“Saya juga pernah menjalankan perniagaan ceramah dan bertindak menjadi penceramah di sekolah dengan mengadakan seminar dengan nama Zulfa Akademi salah satu yang diajar adalah cara menghafal Quran menggunakan konsep Dr. Zakir Naik.
“Alhamdulillah, pada ketika itu boleh menjana sehingga RM2,000 hingga RM3,000 dengan lima orang rakan lain,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Muhamad Zulfaqar yang bercita-cita menjadi penceramah itu berkata, selepas ditawarkan memasuki USIM, dia terus menjalankan pelbagai perniagaan termasuk menyediakan perkhidmatan kereta ‘sapu’ bagi menghantar pelajar dan menjalankan kelas mengaji quran.
“Dengan perniagaan kereta ‘sapu’ saya mampu menjana pendapatan RM85 hingga RM100 bermula tengahari hingga pukul 4 petang. Saya juga sempat menjual biskut produk usahawan lain sehingga terjual mencecah 200 botol.
“Alhamdulillah, walaupun agak sibuk dengan perniagaan saya masih mampu menjaga keputusan setiap semester dengan purata nilai gred kumulatif (PNGK) 3.0 ke atas,” katanya mampu menjana pendapatan sehingga RM1,800 sebulan pada ketika itu.
Menceritakan dengan lebih lanjut, Muhamad Zulfaqar yang merupakan anak kedua daripada lima beradik itu berkata, dia kini telah mempunyai kilang pada 2019 iaitu tahun kedua pengajian dan dia menjadi usahawan muda dengan menjana pendapatan sehingga RM300,000 sebulan.
Selepas beberapa tahun, beliau kini mempunyai lebih 2,000 ejen di seluruh Malaysia serta mempunyai 20 orang kakitangan di kilang miliknya di Kawasan Perindustrian Nilai 7, Negeri Sembilan dalam perniagaan coklat premium.
“Sebanyak empat jenis coklat premium yang disaluti creme o, badam, perisa coklat gelap dan coklat putih pada harga RM17 satu unit. Kini, kilang mampu menghasilkan lebih 1,000 unit sehari.
“Baru-baru ini, saya juga ada melancarkan produk baharu, AB Bites krunch satu pek RM8.50. Ini merupakan bijiran yang dinikmati dengan susu,” katanya.
Muhammad Zulfaqar turut menasihatkan usahawan perlu tahu apa yang ingin dicapai bagi mengubah pergaulan dan mencari mentor sesuai dengan perniagaan yang diceburi.
“Bakal usahawan jangan ego untuk rasa diri boleh bergerak sendiri. Mentor akan memberi peluang dan petunjuk dimana penanda aras perniagaan,” katanya.-UTUSAN











