Skandal Daihatsu: TIV mungkin terjejas

Skandal Daihatsu: TIV mungkin terjejas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jumlah volum industri (TIV) kenderaan pada tahun ini mungkin terjejas sekiranya penjualan di Malaysia terpaksa dihentikan atau komponen dari Jepun tidak dapat dibawa masuk dalam jangka masa lebih dari sebulan, kata penganalisis.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis automotif, Hezeri Samsuri bagaimanapun berkata, masih terlalu awal untuk melihat impak kepada TIV.

Katanya, Perodua menggunakan jauh lebih banyak komponen tempatan daripada Proton atau mana-mana jenama lain iaitu lebih 90 peratus, bermaksud tidak banyak komponen datang dari Jepun.

“Penggantungan yang berlaku adalah dari Daihatsu Motor sendiri, bukan dari kerajaan Jepun. Dari apa yang saya faham, ini berpunca dari dokumentasi yang salah.

“Jika penggantungan bukan dari kerajaan, bermakna tidak ada recall dan tidak ada bukti kenderaan yang siap ada di jalan raya itu berbahaya kerana sudah lulus ujian piawaian.

“Ini bermakna, jika kerajaan Malaysia yakin dokumentasi Perodua lengkap dan tiada isu pemalsuan, Perodua boleh terus menghasilkan kenderaan tanpa sekatan,” katanya, semalam.

Ditanya sama ada pengantunggan tersebut akan memberi kesan kepada keputusan kewangan UMW Holdings yang merupakan pemilik Perodua dan Toyota, beliau berkata, Syarikat tersebut akan merasakan impak jika penggantungan mengambil tempoh yang lama.

Jelasnya, masa menunggu bagi pelanggan juga dijangka akan bertambah jika ada penggantungan.

“Perlu faham, apa yang Daihatsu dan Toyota lakukan adalah sesuatu yang berani dan jujur. Mereka dapat tahu ada whistle blower berkaitan masalah dokumentasi dan mereka tidak menafikannya tetapi terus menghentikan penghantaran tempahan.

“Adakah syarikat lain sanggup berbuat begitu atau lebih mudah menyorokkan sahaja isu-isu ini?,” soal beliau.

Tambahnya, untuk Malaysia yang tidak ada langsung undang-undang seperti Recall Law atau Lemon Law (undang-undang untuk melindungi pengguna daripada produk yang rosak), pengguna kena bergantung pada maklumat daripada sumber media luar untuk tahu ada isu berkaitan kenderaan.

“Untuk jenama nasional, di mana tidak ada pemantauan sangat dari syarikat luar, adakah mereka mempunyai prosedur operasi standard (SOP) untuk melakukan audit kualiti mereka sendiri?,” soal beliau lagi.

Sementara itu, Utusan Malaysia cuba mendapatkan komen daripada Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Mohd Shamsor Mohd Zain berhubung perkara tersebut dan sama ada pengantungan itu akan memberi kesan pada jumlah volum industri (TIV) tahun ini dan 2024.

Bagaimanapun, jurucakap MAA memberitahu, persatuan biasanya tidak akan memberi komen berkaitan mengenai isu yang menjurus ahli secara terus tetapi lebih industri secara ke­seluruhan.

“Berkaitan TIV pula, rasanya masih terlalu awal. Bulan depan kami akan mengadakan sidang akhbar mengenai prestasi pada tahun ni dan juga unjuran bagi 2024,” jelasnya.

Perodua ketika dihubungi memberitahu, tiada komen terbaharu berkaitan isu terbabit.

“Bila ada, kami akan kongsi,” jelasnya.

Kelmarin, Xinhua melaporkan, Daihatsu Motor menggantung semua pengeluaran domestik pada Selasa susulan skandal berhubung pemalsuan ujian keselamatannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN