PPZ-MAIWP optimis capai sasaran kutipan zakat RM1 bilion

PPZ-MAIWP optimis capai sasaran kutipan zakat RM1 bilion

MAJLIS penyerahan zakat perniagaan oleh syarikat korporat kepada Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/ AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) optimis dapat mencapai sasaran pungutan zakat sebanyak RM1 bilion menje­lang akhir tahun ini.

Pengerusi PPZ-MAIWP, Tan Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, PPZ-MAIWP sudah mengutip zakat sebanyak RM778 juta sehingga kini dan perlu mencapai RM212 juta lagi dalam tempoh 17 hari.

Beliau berkata, PPZ-MAIWP menggerakkan kakitangan untuk berusaha sepanjang masa bagi memperoleh sasaran tersebut.

“Tujuan kami untuk meningkatkan zakat kerana ekosistem asnaf-asnaf di negara ini yang sudah berubah. Pembayar zakat dari golongan asnaf di Wilayah Persekutuan telah meningkat daripada 32,000 kepada 37,000 ketika ini.

“Agenda kami adalah untuk transformasi daripada penerima zakat kepada pembayar zakat. Sebab itu, di bandar ada pertanian bandar yang membawa kepada sekuriti makanan tetapi juga untuk meningkatkan pendapatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Zakat Korporat 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, semalam.

Pada majlis tersebut, PPZ-MAIWP menerima bayaran Zakat Perniagaan sebanyak RM16.2 juta daripada 21 syarikat termasuk Affin Islamic Bank Berhad, Amanah Raya Berhad, FGV IFFCO Sdn. Bhd., MBSB Bank Berhad, MBSB Bank Berhad dan UDA Holdings Berhad.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, sebanyak RM120.58 juta kutipan zakat perniagaan dica­tatkan sehingga kini, peningkatan sebanyak 17 peratus berbanding tahun 2022 membabitkan 3,743 pembayar.

Menurutnya, PPZ-MAIWP me­lalui MAIWP menawarkan Skim Wakalah atau Pengembalian Semula Wang Zakat untuk dimanfaatkan semula kepada mereka yang memerlukan.

“Pembayaran zakat perniagaan serendah RM10,000 dan ke atas boleh mendapat pulangan semula wang zakat dari 12.5 peratus sehingga 50 peratus untuk diagihkan sendiri kepada asnaf yang memerlukan.

“Syarikat boleh membuat permohonan wakalah sebanyak 50 peratus jika membayar zakat perniagaan melebihi RM1 juta setahun.

“Manakala 37.5 peratus kepada majikan yang mewajibkan poto­ngan gaji sekurang-kurangnya 80 peratus kakitangan membuat potongan zakat kepada PPZ-MAIWP dan melebihi nilai RM100,000 setahun,” jelasnya.

PPZ-MAIWP juga sedang mengadakan Kempen Year End Zakat 2023 bermula 18 November hingga 31 Disember 2023, yang membolehkan pembayar berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik seperti pakej umrah, Thermomomix, vakum Dyson, telefon pintar dan banyak lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×